Sunday, June 28, 2009

Buruk Kelaku PKR Pulau Pinang

Dalam berita bertajuk "No awards for Pakatan leaders, Guan Eng maintains," Malaysian Insider 28/6/09 melaporkan yang lebih kurang maknanya:

Malaysian Insider difahamkan, berapi rasa tak puas hati, terutama di kalangan wakil-wakil rakyat PKR, kerana mereka dah perasan sangat dah kononnya ada di kalangan ahli parti depa (depa tak kata la diri depa sendiri) yang memberikan sumbangan besar (uek!!) dan patut dipertimbangkan penganugerahan bintang kehormatan negeri kepada mereka.

Masya Allah, buruknya kelaku! Kalau kita kata lebih-lebih, depa marah pulak.

Kawan yang buat projek di Pulau Pinang banyak menceritakan buruk kelaku sesetengah pemimpin PKR negeri itu. "Macam perangai Umno!" dia mendakwa.

Teringat para pemimpin di beberapa negeri yang berkenduri sakan anugerah kebesaran negeri. Anugerah bersepah sana-sini, tetapi tak pernah dengar pun garis panduan pemerintahan seperti CAT - competency, accountability and transparency.

Sejak awal April 2008 lagi diseru supaya ditubuhkan badan Hisbah. Buat pekak ja! (Lihat berita Harakahdaily 2/4/08 "Kerajaan Pakatan Rakyat perlu tubuh badan Hisbah"). Kalau kita kata DAP lebih bersungguh nak kerajaan yang bersih, mesti punya menggelejat depa marah!

Sumber : Penarik Beca

Friday, June 19, 2009

PKR akan kenakan tindakan disiplin ke atas Johari

Ketua Whip Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Johari Kassim yang memboikot majlis angkat sumpah perlantikan Yang Dipertua MPSP pada 4 Jun lalu akan dikenakan tindakan disiplin oleh PKR.

Menurut Timbalan Ketua Menteri 1, Mansor Othman tindakan ke atas Johari akan diputuskan oleh PKR hujung minggu ini.

Difahamkan PKR Pulau Pinang akan mengadakan mesyuarat petang ini, bagi membincangkan kedudukan Johari.

Lapor The Star, 17 Jun Mansor dipetik berkata kedudukan Johari akan dibuat oleh Biro Politik PKR Pusat.

Baca lagi...

Manek Urai tanpa poster Hj. Hadi

Berbeza dengan pilihanraya kecil lain, DUN Manek Urai menyaksikan kelainannya apabila poster Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak akan dinaikkan sebagai strategi kempen.

Jentera pilihanraya PAS Kelantan berhasrat menonjolkan poster calon bersama Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang juga menteri besar sebagai sebahagian strategi "melokalisasi" kempen tersebut.

bm version kerusi dun manek urai 220509"Ia bertujuan melokalisasi (strategi) kempen pilihanraya kecil ini. Ini lawan kepada (pendekatan) Umno yang kita tahu akan cuba menasionalkannya.

"Ini pilihanraya tempatan (negeri),” kata Timbalan Pengarah Pilihanraya PAS negeri, Nasir Daud kepada Malaysiakini hari ini.

Ketiadaan poster Abdul Hadi - yang selalunya dinaikkan bersama Nik Aziz - menimbulkan spekulasi bahawa dua tokoh atasan PAS ini tidak lagi sealiran, khususnya dalam isu kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun PAS Kelantan menafikan tindakan tersebut ada kaitan dengan isu kerajaan perpaduan - yang hangat diperkatakan dan memberi gambaran dua tokoh sedang bergeser.

“Ia tidak ada kaitan langsung dengan isu kerajaan perpaduan. Ini (hal) pilihanraya kecil,” kata Nasir sambil menyifatkan perkara itu sebagai “geder” atau khabar angin.

Lawat kawasan

Bagaimanapun, tambahnya, poster-poster belum lagi dicetak.

"Yang sudah ada sikit-sikit itu (dibuat) sendiri-sendiri," kata Nasir, yang juga penduduk tempatan Kuala Krai - tidak berapa jauh dari Manek Urai.

Ditanya sama ada tindakan tidak mencetak poster presiden itu akan membuatkan Abdul Hadi berkecil hati, Nasir hanya menjawab: "Tidak apa".

Sementara itu, beliau turut menafikan terdapat usaha PAS dari negeri-negeri tertentu memboikot kempen pilihanraya kecil PAS di DUN itu.

"Pada 13 Jun lalu mereka sudah datang membuat lawatan ke kawasan dan berjumpa dengan orang tempatan.

"Malam tadi baru saja (ahli jawatankuasa PAS pusat) Abu Bakar Chik datang," katanya.

Nasir berkata, jentera PAS dari negeri lain akan mula turun ke Manek Urai mulai esok.

Malaysiakini difahamkan, Abu Bakar termasuk dalam senarai pemimpin yang "tidak dialu-alukan" oleh PAS negeri di Manek Urai.

Dikatakan, termasuk dalam senarai itu ialah Abdul Hadi, timbalannya Nasharuddin Mat Isa dan setiausaha agung, Datuk Mustafa Ali.

Dewan Harian PAS akan bermesyuarat Isnin ini - dijangka membincangkan soal kerajaan perpaduan dan persiapan menghadapi pilihanraya kecil DUN Manek Urai.

Sumber : Malaysiakini

10 Ahli Parlimen PAS tolak kerajaan perpaduan

Sepuluh daripada 24 anggota Dewan Rakyat PAS tiba-tiba membuat kejutan petang ini di lobi Parlimen.

Mereka mengisytiharkan beramai-ramai menolak idea kerajaan perpaduan dan sekali gus memberi mandat kepada Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk menangani isu tersebut yang sedang menggelegak dalam parti itu.

Dalam kenyataan ringkas tiga perenggan, mereka sebulat suara menegaskan bahawa idea kerajaan perpaduan seperti disarankan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang "tidak pernah merupakan agenda PAS."

Mereka juga menegaskan kembali pentingnya PAS berpegang teguh pada keputusan muktamar di Ipoh tahun lalu yang ingin menguatkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Kenyataan tersebut, bersama tandatangan sepuluh anggota Dewan Rakyat berkenaan, diedarkan dalam satu sidang media (foto kiri).

Ahli-ahli parlimen PAS itu seperti berikut: Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), Khalid Samad (Shah Alam), Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Datuk Kamaruddin Jaffar (Tumpat), Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali (Titiwangsa), Dr Mohd Hayati Othman (Pendang), Taib Azamuddin Md Taib (Baling) dan Dr Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar).

Abdul Hadi, yang juga ahli parlimen Marang, tidak hadir kerana berada di luar negara, manakala Nasharuddin (Bachok) pula menghilangkan diri sejak dibidas Nik Aziz petang semalam.

Mesyuarat ukhuwah

Sementara itu di Kota Bharu, Nik Aziz merancang mengadakan mesyuarat khas yang hanya dihadiri pemimpin tertinggi PAS termasuk Abdul Hadi dan timbalannya Nasharudin Mat Isa.

"Saya sendiri akan menjemput presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalan presiden (Nasharudin) dan beberapa pemimpin PAS lain yang akan saya tentukan kemudian.

"Pertemuan ini saya namakan mesyuarat ukhuwah (persaudaraan) yang akan menyelesaikan isu kerajaan perpaduan ini.

"Buat masa ini masa, tarikh dan lokasinya belum lagi dapat ditentukan sama ada di Kuala Lumpur atau di Kelantan, bergantung kepada kesesuaian masa tetapi akan diadakan secepat yang boleh," Nik Aziz dipetik berkata selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Harian PAS Kelantan hari ini.

Menurut Bernama lagi, Nik Aziz beliau belum dihubungi Nasharudin berhubung gesaannya agar timbalan presiden itu meletakkan jawatan, termasuk sebagai ahli parlimen Bachok.

Nik Aziz juga dipetik berkata Pakatan Rakyat ketika ini yang sebenarnya kerajaan perpaduan.

"Kenapa perlu nak cari yang lain (kerajaan perpaduan)? Kelebihan gabungan Pakatan Rakyat telah menghilangkan 'Islamophobia' oleh bangsa lain seperti Cina dan sebagainya dan inilah dianya kerajaan perpaduan," katanya.

Pada mesyuarat hari ini, semua penyandang jawatan parti dalam PAS negeri dikekalkan kecuali jawatan setiausaha yang kini disandang Zaki Ibrahim, menggantikan Datuk Takiyuddin Hassan.

Bekas bendahari Pemuda PAS itu juga timbalan speaker DUN Kelantan yang menarik diri saat akhir daripada bertanding jawatan ketua Dewan Pemuda PAS.

Thursday, June 18, 2009

RENUNGAN DAN MUHASABAH BUAT SEMUA, TIDAK KIRA PIMPINAN ATAU AHLI BAWAHAN

Ada orang yang boleh jadi agak kurang jitu pengamatannya menuduh golongan yang menentang Nasaruddin dan wiridnya itu adalah merupakan golongan yang tidak menghormati pilihan muktamireen tetapi sedarkah pihak pihak tersebut bahawa penentangan ini dilakukan selepas Nasaruddin menang bukan kerana keengganan kami menerima kemenangan Nasaruddin tetapi kerana beliau menzahirkan wirid Kerajaan Perpaduannya itu selepas beliau menang. Jika awal awal beliau memaklumkan idea jahatnya itu, maka tentulah awal awal lagi Nasaruddin nih dah kami kafankan.

Ada orang menuduh kamu sebagai kelompok yang tidak wala’ kepada pimpinan. Pada kami, kami tidak berkecil hati dengan tuduhan sebegini kerana kami tahu jalan yang kami pilih ini akan membuatkan rakan rakan mungkin bertukar menjadi seteru kami. Tidak mengapalah. Kami memilih untuk melaluinya.

Sungguhpun begitu, kami mohon pihak pihak yang menembak kami dengan peluru jenama “tidak wala’” itu mempelajari dan memperhalusi semula apa erti wala’ dalam konteks sebuah gerakan Islam seperti PAS.

Wala’ dalam konteks sebuah gerakan Islam adalah bererti wala’ kepada keputusan yang dibuat oleh pimpinan jemaah secara jam’ie dan bukannya wala’ kepada individu yang memimpin ataupun wala’ kepada keputusan pimpinan yang dibuat di luar mesyuarat.

Ketaatan kepada pimpinan bererti ketaatan kepada manusia dan ketaatan jenis ini adalah ketaatan yang bersyarat iaitu selagi mana pimpinan itu mentaati Allah dan Rasul, maka wajib bagi kita mentaatinya.

Dalam konteks jemaah, selagi mana keputusan pimpinan itu tidak mendatangkan mudarat kepada jemaah dan dakwah, maka wajib bagi kita ahli bawahan mematuhinya. Namun, sekiranya keputusan pimpinan itu mendatangkan kemudaratan kepada jemaah dan dakwah, maka wajib bagi kita menegurnya. Apatah lagi jika keputusan itu adalah keputusan yang dibuat secara sembunyi sembunyi oleh beberapa kerat pimpinan tanpa melalui saluran yang syar’ie iaitu mesyuarat rasmi.

Wala’ kepada keputusan pimpinan bergantung kepada cara atau saluran bagaimana yang digunakan untuk membuat keputusan tersebut. Juga bergantung kepada kesan jangka panjang keputusan tersebut. Bukan soal siapa yang memutuskan keputusan itu sama ada Presiden, Timbalan Presiden atau pimpinan yang lain lain.

Seterusnya, sebagai sebuah gerakan Islam, seharusnya ada pihak yang memainkan peranan sebagai pemudah cara atau sebagai pendamai apabila timbulnya bunga bungan masalah dalaman. Malangnya, perkara ini tidak wujud dalam gerakan Islam PAS.

Muktamar khas PAS redakan isu kerajaan perpaduan

Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib mencadangkan satu muktamar khas diadakan bagi membincangkan cadangan kerajaan
perpaduan kerana ia satu isu yang besar.

"Ini perkara besar dan baru, tidak boleh buat begitu sahaja... kena bawa ke peringkat akar umbi melalui muktamar khas.

"Bila muktamar khas sudah bersetuju, baru kita boleh laksanakan," katanya seperti dilaporkan Bernama.

Beliau juga berkata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka memberikan penerangan secara terperinci kepada pemimpin-pemimpin parti itu berhubung cadangan berkenaan.

"Kita tunggu presiden pulang dari luar negara. Insya Allah, selepas
diberikan penerangan, kita bersedia turun padang menjelaskan mengenai perkara itu," kata Harun, yang baru dilantik pesuruhjaya PAS Terengganu.

Hari ini, dengan gaya penentangannya, mursyidul am PAS menggesa timbalan presidennya Nasharudin Mat Isa meletakkan jawatan tersebut dan juga melepaskan kerusi parlimen Bachok.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan rasa kesalnya terhadap kenyataan Nasharuddin semalam yang menyambut kesediaan perdana menteri untuk berbincang berhubung isu tersebut.

Bercakap selepas mesyuarat exco kerajaan Kelantan, menteri besar itu mengulangi penegasannya bahawa isu kerajaan perpaduan dibawa "boneka Umno" dalam partinya dan satu agenda BN untuk memecah-belahkan PAS dan juga Pakatan Rakyat.

Dalam sidang media yang sama, Harakahdaily.net pula melaporkan, beliau bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap Utusan Malaysia yang didakwa memutar belit kenyataannya.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya menggunakan perkataan 'nasihat saya mesti didengar' sebagaimana yang dilaporkan akhbar berkenaan bertarikh 15 Jun lalu.

"Bukan watak saya memaksa orang lain mendengar cakap saya, bahkan ia bukan sejarah dalam hidup saya untuk berbuat demikian seperti disiarkan akhbar terbabit," Nik Aziz dipetik berkata.

Dengan tajuk berita 'Boneka UMNO' nasihat awal - Nik Aziz', harian tersebut melaporkan Nik Aziz dipetik berkata "boneka Umno" hanya nasihat awalnya dan perlu didengar oleh pemimpin lain PAS.

Nik Aziz bagaimanapun menyifatkan berita itu "ditulis dengan memutarbelit kenyataannya, ditambah pandangan penulis sendiri", lapor akhbar web itu lagi.

"Saya telah menyerahkan kepada peguam hari ini untuk mengambil tindakan ke atas akhbar terbabit dan penulis rencana (surat pembaca) terbabit," katanya.

Surat bertajuk 'Nik Aziz memutlakkan nasihatnya bercanggah hukum-hakam' diterbitkan semalam.

Sumber : Malaysiakini

Wednesday, June 17, 2009

Tok Guru gesa Nasharuddin keluar PAS

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggesa timbalan presidennya Nasharudin Mat Isa meninggalkan parti itu dan meletakkan ahli parlimen Bachok jika masih ingin kerajaan perpaduan.

"Isu kerajaan perpaduan bukannya datang daripada PAS, ia adalah lontaran (idea) peribadi. Perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam kertas sebagai agenda PAS mahupun dalam kertas Pakatan Rakyat.

"Kalau benar Nasharuddin nak setuju (dengan kerajaan perpaduan) lebih baik dia masuk Umno, letak jawatan timbalan (presiden PAS) dan di Bachok.

"Apa buat sampah, menyusahkan," menteri besar Kelantan dipetik berkata selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di Kota Bharu hari ini.

Nik Aziz diminta mengulas kenyataan Datuk Seri Mohd Najib Razak semalam yang yakin terhadap keikhlasan PAS berhubung cadangan tersebut seperti yang dicetuskan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini, lapor Bernama.

Kenyataan tokoh ulama PAS ini yang paling keras pernah dikeluarkan selepas menuduh beberapa pemimpin atasan PAS yang bersetuju dengan idea tersebut sebagai "boneka Umno."

Khamis lalu, mengulas isu kerajaan perpaduan yang semakin bercelaru dalam PAS susulan kemunculan semula isu tersebut ketika muktamar awal bulan ini, Nik Aziz berkata:

"Saya tak boleh lari daripada keputusan Muktamar PAS di Ipoh tahun lalu... keputusannya ialah menyokong Pakatan Rakyat.

"(Yang sokong) perpaduan ini boneka Umno, terang dan jelas.

"Suara sumbang dari PAS untuk buat kerajaan perpaduan ini adalah boneka Umno."

Dalam kenyataannya hari ini, Nik Aziz dilaporkan berkata "beliau kesal dengan pendirian Nasharuddin kerana PAS Kelantan menerimanya sebagai calon di parlimen tersebut" pada pilihanraya umum 2008.

Menurut agensi berita itu lagi, beliau juga berkata PAS dan Pakatan Rakyat kini "telah masuk perangkap Umno" berhubung isu berkenaan sehingga menimbulkan pecah-belah dalam kalangan mereka.

"Orang Umno sekarang ini sedang berpesta kerana PAS sedang berpecah dan Pakatan Rakyat sedang berpecah," katanya.

Beliau juga dilaporkan berkata jika agenda kerajaan perpaduan itu benar-benar ingin dijadikan satu realiti, BN seharusnya melantik pemimpin daripada gabungan pembangkang untuk jawatan menteri.

"Kalau semua setuju...PAS jadi menteri, DAP jadi menteri dan Keadilan jadi menteri," katanya.

Sumber : Malaysiakini

Tuesday, June 16, 2009

16 SEPT DAN KERAJAAN PERPADUAN TERLALU JAUH BEZANYA

Ada pihak yang tidak menggunakan otak apabila menyamakan objektif 16 Sept yang ingin dibawa oleh DS Anwar dengan idea Kerajaan Perpaduan yang kini masih hangat diperdebatkan.


Secara ringkasnya, saya sambil melelap mata boleh mengetahui di mana beza kedua-dua isu tersebut, dan mungkin banyak lagi perbezaan yang boleh kita lihat jika kita gunakan otak untuk mencarinya.


Sasaran 16 Sept adalah pendekatan DS Anwar untuk mendapatkan sokongan MP-MP dari Umno/Bn secara terbuka iaitu mengistiharkan sokongan terhadap PR. Bukan bermatlamat DS Anwar bersekongkol dengan Umno/Bn atau berpakat bersama mereka, tetapi merekalah yang mesti masuk bersama PR. Pendekatan itu dibuat secara terbuka malah kerap diulang berkali-kali oleh DS Anwar sewaktu di dalam Parlimen dan juga di dalam ceramah-ceramahnya.


DS Anwar juga sering berkata, beliau bukan bermusuh dengan ahli-ahli Umno di peringkat bawahan dan seringkali beliau mengajak agar ahli-ahli Umno/Bn kembali ke pangkal jalan samada untuk menyertai PKR, Pas atau DAP. Malangnya, rancangan 16 Sept gagal dari segi untuk melayakkan PR berkuasa di Pusat, tetapi banyak kejayaannya jika dilihat dari segi sokongan yang semakin bertambah di peringkat akar umbi. Mudah cakap, plan 16 Sept adalah plan yang dirancang secara terbuka malahan disokong sepenuhnya oleh pimpinan PR termasuk Pas sendiri yang juga mendapat faedah dari semakin ramai yang bersama Pas sekarang.


Manakala, Kerajaan Perpaduanpula adalah satu pendekatan juga tetapi tidak pernah dibincang terlebih dahulu sesama rakan di dalam PR, bahkan ditolak oleh Muktamar Pas sendiri sewaktu Muktamar di Perak tahun sudah. Kerajaan Perpaduan bukan bertujuan untuk menarik ahli Umno/Bn ke dalam Pas, tetapi sebaliknya dilihat untuk mendekatkan Pas kepada Umno walaupun bukan untuk menyertai Umno. Punca mengapa kaedah ini disangsikan adalah apabila melihat cara ianya cuba dilakukan oleh beberapa kerat pemimpin Pas di Selangor sewaktu kerajaan Selangor dapat dirampas oleh PR. Apakah perbincangan mereka bersama pemimpin Umno Selangor serta Pak Lah ketika itu untuk menarik mereka menyokong PR atau menyokong Pas? Jawapannya tidak. Mereka berbincang bagaimana untuk mewujudkan kerajaan bersama Umno di Selangor, sekaligus menendang PKR dan DAP keluar. Ini fakta dan ramai pimpinan Pas sendiri tahu perkara ini. Oleh sebab itu, pemilihan dalam Pas baru-baru ini agak panas kerana ramai yang mengetahui `hubungan sulit’ sedemikian rupa telah dilakukan.


Di antara kedua-dua tersebut iaitu 16 Sept dan Kerajaan Perpaduan seperti yang secara ringkasnya dinyatakan, di mana letaknya persamaan? Mengapa apabila mereka ini terdesak setelah rahsia jahat mereka diketahui, mereka ingin samakan dengan projek 16 Sept itu?


Mengapa sewaktu 16 Sept dirancang, mereka tidak membantah malah pimpinan tertinggi Pas pun menyokong atas dasar menyeru mereka dari Umno/Bn kepada PR dianggap jalan dakwah kerana ianya tidak melibatkan unsur rasuah? Tetapi mengapa apabila Kerajaan Perpaduan ini dicetuskan, maka berbagai bantahan didengar bukan sahaja dari rakan PR yang lain, tetapi pimpinan Pas tertinggi pun menentang seperti Mursyidul Am mereka?


Ini jelas menunjukkan kedua-dua kaedah ini berbeza. Satu idea untuk kebaikan bersama di dalam PR, manakala satu idea lagi adalah untuk kepentingan diri dan pengkhianatan kepada rakan-rakan di dalam PR bahkan kepada semua yang selama ini menyokong PR dan Pas.


Perbezaan yang paling ketara adalah idea Kerajaan Perpaduan ini tidak dihuraikan secara terperinci terlebih dahulu tetapi timbul pada muktamar. Sekiranya dihuraikan juga, sudah pasti hanya yang buta sejarah dan yang tidak mengenali Umno akan menyokongnya.


Thursday, June 11, 2009

Johari Kassim dipecat!

Kerajaan Negeri Pulau Pinang memutuskan memecat Ketua Wip MPSP dari PKR Johari Kassim sebagai ahli majlis berhubung salahlakunya yang mengetuai lapan dari sembilan ahli majlis dari PKR yang memboikot majlis angkat sumpah perlantikan Yang Dipertua MPSP, minggu lalu.

Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu, semalam, bagaimanapun ditangguhkan sehingga Rabu depan, bagi membolehkan Timbalan Ketua Menteri 1 Mansor Othman yang mewakili Exco PKR, mencari jalan penyelesaian terbaik menamatkan kemelut itu.

Difahamkan penangguhan itu diminta oleh para exco PKR termasuk Law Choo Kiang dan Abdul Malik Kassim.

Ketua Menteri Lim Guan Eng yang mempengerusi mesyuarat, semalam, dikatakan mahu PKR mengambil tindakan tegas terhadap Johari yang telah mencemarkan imej kerajaan negeri.

Tindakan Johari minggu lalu, dilihat bukan sahaja mencemarkan imej kerajaan negeri, bahkan turut mencalarkan kredibiliti Lim Guan Eng dan Mansor yang mengumumkan perlantikan Mokhtar Mohd Jait sebagai YDP MPSP.

Mokhtar menggantikan Farizan Darus yang dilantik sebagai Pengarah Kewangan Negeri.

Johari membantah perlantikan Mokhtar, bekas Pegawai Daerah Seberang Perai Utara, dengan alasan jawatan berkenaan sepatutnya diisi dari kalangan pemimpin PKR.

Beliau mendakwa keputusan berkenaan telah diputuskan dalam mesyuarat perhubungan negeri PKR, dan perkara tersebut dipersetujui oleh pemimpin Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

Johari juga mendakwa Ketua Menteri tidak pernah berbincang dengan PKR dan PAS berhubung perlantikan YDP MPSP.

Pengerusi DAP negeri Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas negeri berkata, "Soal pelantikan Mokhtar Jait sebagai YDP MPSP tidak pernah dirujuk kepada PKR tidak timbul kerana ia pelantikan daripada kalangan pegawai pentadbiran."

PR Pulau Pinang katanya tidak pernah memutuskan jawatan itu diserahkan kepada PKR.

Menurut Chow lagi, cadangan pelantikan Mokhtar sebagai YDP dibentang pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Rabu lalu dan diterima sebulat suara.

"Exco daripada PKR yang terdiri daripada Timbalan Ketua Menteri 1 Mansor Othman, Abdul Malik Kassim dan Law Choo Kiang adalah sebahagian daripada ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang menyokong pelantikan itu," katanya.

MPSP mempunyai 24 anggota majlis dan daripada jumlah itu, 10 diwakili pemimpin DAP, sembilan PKR, dua Pas dan tiga daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sebelum ini, akhbar melaporkan Johari bertindak demikian kerana mengidam jawatan YDP.

Sumber : Alahaifairus..

Wednesday, June 10, 2009

PKR mahu jadi 'paling demokratik' di Malaysia

PKR akan mengadakan kongres nasional khas Sabtu ini untuk membincang dan meluluskan tujuh usul penting termasuk menghadkan tempoh presiden, menambah jumlah naib presiden serta memperuntukkan 30 peratus jawatan penting kepada wanita.

Empat usul ialah mengurangkan had umur ahli Angkatan Muda PKR (AMK) daripada 40 kepada 35 tahun; memindahkan hak memilih pucuk pimpinan kepada ahli biasa; memperkenalkan sistem undi sulit dalam parti; menukar istilah bahagian kepada cabang, cawangan kepada ranting, majlis kepimpinan tertinggi kepada majlis pimpinan dan badan perhubungan negeri ditukar kepada majlis pimpinan negeri.

Naib presiden yang juga pengerusi jawatankuasa pindaan perlembagaan, R Sivarasa berkata, semua usul tersebut akan dibincang dan diluluskan dalam kongres khas sehari itu yang akan membabitkan perlembagaan parti.

Katanya, jawatankuasa tersebut ditubuhkan Oktober tahun lalu dan telah mengumpulkan maklum balas daripada negeri-negeri berhubung cadangan pindaan tersebut.

Sivarasa berkata, usul-usul tersebut adalah amat penting dalam memperkukuhkan amalan demokrasi dalam parti itu.

Ahli mencecah 300,000

Kongres tersebut akan berlangsung di pusat konvensyen, Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) Kajang, bermula jam 8 pagi.

Setakat ini, kata Sivarasa yang juga ahli parlimen Subang, PKR mempunyai kira-kira 300,000 ahli di mana keahliannya mencecah kira-kira 10,000 setiap bulan.

Sehubungan itu, katanya, PKR akan meminda sistem pemilihan parti untuk membolehkan ahli biasa di semua peringkat dalam parti memilih pucuk pimpinan.

"Ia adalah untuk menunjukkan komitmen untuk reformasi dalam parti.

"(Pindaan) dapat membantu menghapuskan kecenderungan yang kurang sihat seperti politik wang dan amalan cawangan hantu, seperti yang dilihat dalam parti politik lain di Malaysia.

"Sekiranya ia diluluskan, PKR akan mencatat sejarah sebagai parti politik pertama memberi hak kepada ahli untuk memilih pucuk pimpinan parti," katanya lagi dalam sidang akhbar hari ini.

Dalam kongres khas itu, Sivarasa berkata, pihaknya juga akan mendapatkan sokongan dua pertiga daripada perwakilan untuk menghadkan tempoh seorang presiden.

Katanya, tempoh tersebut dicadangkan hanya dihadkan kepada tiga penggal atau sembilan tahun.

Sistem pemilihan

Berhubung tentang sistem pemilihan dalam parti pula, PKR akan mengadakan pemilihan yang bebas dan akan menginstitusikan amalan undi sulit dalam parti.

"Ini adalah untuk memperkukuhkan amalan demokrasi dalam parti," katanya.

Sehubungan itu, kata Sivarasa, pihaknya bercadang untuk menggunakan dakwat kekal, sebagai satu usaha untuk menunjukkan pemilihan pucuk pimpinan berjalan dengan lancar.

Mengulas lanjut mengenai cadangan pindaan yang berkaitan dengan umur dalam AMK, Sivarasa berkata, pelaksanaannya akan berkuatkuasa serta merta bagi semua jawatan yang dilantik.

Bagaimanapun, pemilihan tahun depan, masih menggunakan had umur 40 tahun kerana atas sebab-sebab teknikal dan dijangka bakal dilaksanakan sepenuhnya selewat-lewatnya tahun 2013.

Mengenai memberi peruntukkan kepada wanita sebanyak 30 peratus untuk memegang jawatan dalam parti, beliau berkata, setahunya, tidak ada parti di Malaysia yang memberi komitmen sebesar itu kepada wanita.

Ganti istilah
"Pindaan struktur pimpinan dalam parti dibuat kerana PKR benar-benar mahu mejadikan sebuah parti yang bersifat nasional," kata Sivarasa sambil menambah PKR kini mempunyai sebanyak 190 bahagian termasuk Sabah dan Sarawak.

Mengenai pertukaran nama bahagian kepada cabang dan cawangan kepada ranting, Sivarasa berkata, pertukaran tersebut bertujuan untuk menggantikannya dengan istilah yang lebih "progresif dan saksama".

"Kita mahu menjauhkan dari istilah yang diungkit sebagai mempunyai unsur struktur tradisional atau struktur feudal," katanya.

Menurut Sivarasa, PKR juga akan meminda perlembagaan bagi menambah jawatan naib presiden, kepada tujuh orang.

Setakat ini, PKR mempunyai lima orang naib presiden.

PKR menjangka kira-kira 2,500 perwakilan akan menghadiri kongres khas tersebut.

Pertemuan sulit tolak k'jaan perpaduan

Dalam kehangatan perdebatan idea kerajaan perpaduan yang diutarakan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mursyidul amnya Datuk Nik Aziz Nik Mat memanggil pertemuan sulit bagi menepisnya.

Menurut sumber-sumber, Nik Aziz memanggil beberapa pemimpin parti itu yang dilihat menentang idea kerajaan perpaduan dan muqabalah dengan Umno, antaranya, bekas naib presiden Datuk Husam Musa dan penggantinya Datuk Mahfuz Omar.

Mesyuarat itu yang diadakan di Rumah Kelantan, Jalan Stonor di ibu negara pagi kelmarin juga bersetujui mendesak Abdul Hadi menjelaskan pendirian dan tafsiran beliau berhubung perkara itu.

"Setakat yang kita tahu, kerajaan perpaduan itu maksudnya ingin duduk bersama Umno.

"Ini yang kita tentang. Kita harap presiden dan timbalannya (Nasharuddin Mat Isa) boleh membuat penjelasan," kata sumber.

Jumaat lalu, dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan dasarnya, Abdul Hadi berkata, beliau yakin idea kerajaan perpaduan akan difahami dan diterima semua pihak suatu hari nanti.

Bagaimanapun, pada malam keesokannya, ketika menyampaikan ceramahnya sempena muktamar tahunan PAS itu, Nik Aziz menyifatkan idea Abdul Hadi itu sebagai "mengarut".

'Nik Aziz risau'

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, sumber-sumber berkata, idea Abdul Hadi itu perlu diperjelaskan supaya pemimpin lain dalam PAS tidak curiga dan tertanya-tanya maksud sebenarnya.

"Sekarang kita lihat hanya presiden dan Ustaz Nasharuddin sahaja yang bercakap mengenainya.

"Orang lain tidak tahu apa (butirannya)," kata sumber-sumber itu.

Sumber yang lain memaklumkan bahawa pertemuan itu dibuat ekoran kerisauan Nik Aziz terhadap potensi PAS bergabung dengan Umno apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilaporkan bersifat terbuka terhadap idea itu.

Utusan Malaysia sehari selepas majlis perasmian muktamar memuatkan laporan itu di muka depan akhbar tersebut.

Kedengaran juga ura-ura bahawa Nik Aziz "merajuk dan kecewa" dengan tindakan Abdul Hadi dan ingin membuat tindakan drastik dengan meletakkan jawatan sebagai mursyidul am.

Bagaimanapun, sumber-sumber itu berkata bahawa ura-ura itu tidak benar.

Sementara itu, ahli jawatankuasa PAS pusat yang baru dipilih Dr Hatta Ramli ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung pertemuan Isnin itu.

"(Pertemuan) itu bertanya khabar sahaja," katanya, sambil ketawa.

Bekas bendahari agung PAS itu dikatakan turut hadir dalam pertemuan itu.

Sementara itu, di Pahang, seorang naib presiden PAS yang baru, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Abdul Hadi akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai isu kerajaan perpaduan.

Katanya, kenyataan akan memperjelaskan secara terperinci kerjasama antara PAS dan Umno berhubung isu kerajaan perpaduan, lapor akhbar Sin Chew Daily.

"Presiden akan mengeluarkan kenyataan mengenai isu itu. Semuanya akan diuruskan oleh presiden," katanya.

PAS digesa reformasi kiraan undi

Para penyokong dua calon yang tewas dalam perebutan timbalan presiden PAS, ingin sistem pemilihan diubah bagi menjadikan ia lebih telus dan mengurangkan prasangka buruk.

Seorang penyokong Mohamad Sabu yang tewas di tangan Nasharudin Mat Isa berkata, proses pemilihan parti harus dibuat perubahan.

"Sekarang pengiraan dijalankan secara tertutup kerana perwakilan memberi kepercayaan kepada jawatankuasa pemilihan.

"Jadi, ia membuka ruang kepada manipulasi," katanya, yang enggan dikenali.

Calon-calon yang bertanding tidak dibenarkan menghantar wakil-wakil mereka di sepanjang proses pembuangan undi dan pengiraan – yang berlarutan selepas tengah malam – dengan alasan prosedur tersebut "sudah menjadi tradisi" PAS.

Penyokong bekas naib presiden itu mencadangkan PAS mengambil contoh ketelusan yang diamalkan sewaktu pemilihan MCA baru-baru ini apabila wakil media dan pemerhati dibenarkan melihat proses tersebut dari tingkat atas.

Lebih baik, tambahnya, proses pengiraan undi dalam pemilihan PAS disiarkan melalui CCTV atau layar besar supaya perwakilan dapat melihat sendiri.

Dalam persaingan tiga penjuru itu, Nasharudin meninggalkan pencabar terdekatnya, Datuk Husam Musa dengan kelebihan 200 undi.

Husam dan Mohamad masing-masing mendapat sebanyak 281 dan 261 undi, manakala Nasharudin 480 undi.

Walaupun menerima kekalahan tokoh PAS tersebut yang mesra dipanggil Abang Mat dalam muktamar PAS, penyokong itu juga turut mempertikaikan masa pengiraan yang terlalu lama sehingga dipercayai menimbulkan "rasa prasangka" di kalangan perwakilan.

Ditanya sama ada perlunya ada wakil calon sewaktu proses pengiraan undi, penyokong tersebut berkata, secara tradisinya, memang sebelum ini tidak pernah ada.

Sementara seorang penyokong Husam pula berkata, PAS seharusnya memikirkan kaedah yang "lebih baik", "lebih telus" dan "seiring dengan perkembangan teknologi" untuk mengendalikan pemilihan parti.

"Setidak-tidaknya, sistem pengiraan undi setaraf dengan parti-parti politik lain. Contohnya, Umno yang benarkan wakil calon duduk memantau proses pengiraan undi," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

"Pemilihan dan pengiraan undi haruslah tidak membuka laluan boleh membawa kekeliruan dan tidak memberi peluang fitnah merebak."

Katanya, tujuan tersebut untuk menjaga kredibiliti PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang mementingkan kredibiliti dan integriti dalam perjuangan dan tindak-tanduk politiknya.

Pemilihan PAS yang sengit baru-baru ini menyebabkan banyak pihak termasuk ahli, penyokong calon-calon dan media tertanya-tanya tentang proses pengiraan undi yang berlarutan sehingga awal pagi tanpa sebarang kemaskini maklumat.

Penyokong Husam itu berkata, beliau tidak nampak rasional perlu penangguhan pengumuman keputusan pada pagi hari kedua persidangan, Sabtu lalu.

"Saya tak nampak rasionalnya (tangguh). Ia membuka ruang kepada spekulasi dan fitnah. Ia tidak bagus untuk parti," katanya.

Tambahnya, PAS pernah menghantar pemerhatinya terlibat dalam pilihanraya umum di beberapa negera asing dan tentu mereka boleh membantu parti mereformasikan sistem pemilihan pemimpin.

Sunday, June 7, 2009

Tok Guru : Kerajaan perpaduan 'mengarut'

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat sekali lagi menentang cadangan penubuhan kerajaan perpaduan dengan Umno yang diilhamkan oleh Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menteri besar Kelantan itu menyifatkan penubuhan kerajaan perpaduan dengan Umno sebagai "mengarut".

"Kita sudah buat keputusan menyokong Pakatan Rakyat dalam muktamar PAS yang lalu. Kalau nak berunding dengan Umno, tak usah.

"Kerajaan perpaduan ni tak usahlah, mengarut," katanya ketika berucap dalam program ceramah perdana bersempena muktamar PAS di Stadium Malawati di Shah Alam malam tadi.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan seorang wakil Hamas, Palestin turut berucap di program yang dihadiri oleh kira-kira 3,000 orang.

Abdul Hadi semasa ucapan dasarnya menyentuh mengenai kesediaan berdialog dengan Umno dan menegaskan keperluan kerajaan perpaduan walaupun agenda itu dibantah dan tidak diterima oleh banyak kalangan dalam PAS.

Nik Aziz berkata, individu dan kerajaan lain tidak kenal Umno sama seperti kerajaan Kelantan.

"(Bagi) otak Umno, di Perak, kerajaan Pakatan Rakyat yang menang dia ambil menjadi kerajaan dia.

"(Jadi) kita perlu matikan Umno habis-habisan," katanya lagi.

Telur-telur penjajah

Umno adalah telur-telur yang ditinggalkan oleh penjajah Inggeris, tambah Nik Aziz.

Beliau juga mendakwa ada menteri persekutuan yang mengarahkan kakitangan kementeriannya di Kelantan supaya tidak memberi kerjasama kepada kerajaan negeri.

"Inilah (slogan) satu Malaysia kerajaan (Datuk Seri Najib Razak) sekarang ini," katanya.

Nik Aziz juga berkata, perwakilan muktamar PAS tidak bercakap mengenai ucapan dasar presiden tetapi bercakap perkara lain.

Katanya, beliau sempat mendengar dua atau tiga perwakilan yang membahaskan ucapan dasar presiden semalam.

"Ini restoran, kalau kita masuk restoran kita minta makanan, kita minta minuman.

"Tetapi kita minta minyak silinder, kita hendak betulkan tayar motokar. Ini pelik," katanya.

"Orang ketawakan kita apabila kita bercakap benda lain di dalam muktamar (PAS)."

Friday, June 5, 2009

Walaupun Husam bukan ulamak, tapi bukan jenis merayap di dalam gelap…

AKU bukannya anti Ulamak kerana tanpa Ulamak, PAS akan hilang arah tujuannya. Tetapi apabila Ulamak sudah dipilih tanpa bertanding jawatan Presiden di dalam PAS, amat keterlaluan untuk penolong Presiden pun golongan Ulamak tidak layak. Lebih bersifat tamak lagi, diletakkan syarat pula untuk jawatan Naib Presiden pun mesti ada seorang Ulamak. Siapa punya usul ini? Ini adalah usul Dewan Ulamak PAS sendiri.

Setahu aku Ulamak itu pewaris Nabi dan Nabi itu setahu aku juga seorang yang berani dan sentiasa berlaku adil. Ada sejarah Nabi berada di hadapan di medan pertempuran sehingga patah gigi Baginda. Itulah kehebatan Nabi yang susah pula nak diwarisi oleh golongan Ulamak sekarang. Kita lihat sendiri bagaimana PAS diwaktu kesusahan bersama rakan-rakan di dalam PR untuk mendapatkan sokongan rakyat dan menentang kezaliman, pejuang-pejuang PAS yang sering kita lihat di hadapan sekali ialah siapa? Yang sering disembur oleh FRU dan ditangkap siapa? Yang rajin berceramah dan berjumpa semua golongan tidak mengira bangsa dan agama di setiap pelusuk kampung dan kota tu siapa? Ini belum lagi berperang, baru nak menuntut demokrasi dan keadilan. Di mana Ulamak ketika itu? Di masjid bertazkirah mungkin.

Bukan tidak ada seorang pun Ulamak yang aktif di saf hadapan, memang ada, jika dahulu Almarhum Ustaz Fadzil Noor pernah pedih mata disembur FRU. Tuan Guru Hj Hadi dan Tuan Guru Nik Aziz juga pernah diserbu ketika berceramah. Tetapi, cuba kita kira seramai mana golongan Ulamak khususnya di dalam Dewan Ulamak sendiri yang berani bersama rakyat turun menentang kezaliman? Berapa ramai dari mereka yang pernah ditangkap, dipukul atau sekurang-kurangnya terkena percikan air gatal FRU? Kalau berperang, aku tidak tahu bagaimana agaknya.

Amat malang, setelah PAS kini mempunyai kekuatan setelah dibantu oleh rakan-rakan di dalam PR, golongan yang bukan Ulamak dikatakan tidak layak untuk berdamping dengan Tuan Guru Presiden. Ini bermakna, Dewan Ulamak secara tidak langsung tidak menyokong Husam atau Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden. Husam tidak sokong Islam kah selama ini semata-mata Husam berbaik dengan DS Anwar? Mat Sabu tidak sokong hudud kah semata-mata Mat Sabu berbaik dengan Guan Eng? Atau Ustaz Nasa dikira seorang Ulamak pewaris Nabi hanya semata-mata `merayap’ malam berjumpa pemimpin Umno sewaktu PR ingin membentuk kerajaan di Selangor?

Aku hairan mengapa Dewan Ulamak bersikap seolah-olah tamak kuasa. Aku salute dengan Ustaz Harun Taib yang memberi komen di TV sebentar tadi apabila beliau diminta mengulas usul Dewan Ulamak yang minta agar jawatan No 1 dan No 2 mestilah Ulamak dan Naib Presiden salah seorang mesti Ulamak. Beliau menjawab dengan tegas, beliau tidak menumpukan isu tersebut kerana beliau lebih utamakan bagaimana PAS boleh diperkuatkan bersama PR untuk menumbangkan Umno/Bn. Oleh yang demikian, untuk perkuatkan PR yang terdiri dari berbagai bangsa dan ugama serta fahaman itu, bijakkah semuanya hendak diserahkan kepada Ulamak? Selama ini siapa yang bekerja kuat mendekatkan berbagai bangsa dan ugama tersebut menyokong PAS? Ulamakkah? Atau orang-orang seperti Husam, Mat Sabu, Dr Hatta, Dr Lo’Lo’ dan ramai lagi yang bukan boleh dianggap Ulamak itu?

Tuan Guru Nik Aziz juga seorang Ulamak, tetapi beliau tidak tergamak untuk mengatakan semua jawatan tertinggi PAS mesti lah dibolot oleh Ulamak. Bukankah PAS ada Majlis Syura, bahkan Dewan Ulamak juga penting untuk menentukan arah tuju dan dasar PAS. Justeru itu, apa yang perlu dibimbangkan jika Timbalan Presiden PAS bukan dari Ulamak? Bolehkah beliau berbuat sesuka hatinya tanpa persetujuan Majlis Syura/Dewan Ulamak? Dewan Ulamak seolah-olah tidak mengiktiraf mereka yang bukan Ulamak selama ini yang berjuang bersusah payah untuk memperjuangkan PAS sehingga menjadi seperti sekarang. Aku bimbang nanti, PAS akan hancur dengan sikap Ulamak sedemikian.

http://wfauzdin.blogspot.com

Thursday, June 4, 2009

Umno membantu sedaya upaya supaya Ustaz Nasha menang dalam Muktamar ini

Aku masih lagi kat hospital lima bintang di Kuala Lumpur..merasa hidup macam orang Umno. Dan lagi lama aku duduk disini..makin getik aku kepada Umno. Tapi bukan itu yang aku nak tulis hari ini…sebab aku nak tulis pasal muktamar Pas.

Dalam The Star semalam..”According to Transparency International’s 2009 Global Corruption Barometer, 42% of Malaysians viewed political parties, regardless of faction, as the most corrupt, followed by the civil service (37%), private sector (12%), judiciary (5%), legislative (4%) and media (1%).”

Ini pandangan umum. Kalau tanya kat orang Umno…Umno tak korup. Kalau tanya kat orang PKR…PKR tak korup…Kalau tanya orang Pas…Pas tak korup. Masing-masing tak akan mengaku kalau parti mereka dituduh korup. Tetapi kalau ditanya secara umum…rakyat akan beranggapan semua parti serupa saja.

Umno tak payah cakap…sebab sudah sinonim dengan korupsi. Hanya satu cara untuk mengubah persepsi rakyat terhadap Umno ialah kembali menggunakan PEKEMBAR. Kalau masih dengan Umno..hanya menunggu masa untuk dihantar ke pusat pencernaan sisa pepejal. Dan oleh kerana mereka tidak mahu kembali kepada PEKEMBAR…mampuih pi la.

Korupsi dalam PKR…jangan tanya orang PKR…tapi tanya orang Pas. Orang Pas boleh berceramah dua jam mengenai keburukan orang PKR. Tetapi kalau diamati..pernahkah kita mendengar orang Pas mengutuk Gobalakrishnan…Lee Boon Chye…Tian Chua? Aku belum pernah dengar.

Sebaliknya yang aku dengar ialah PKR serpihan Umno…orang PKR adalah serpihan Umno..orang PKR berbudaya Umno. Bila disebut begini…bermakna yang korup adalah orang-orang Melayu. Dan mereka ini korup kerana berbudaya dan berfikiran Umno. Siapa saja yang ada kaitan dengan Umno..akan dianggap berfikiran dan berbudaya Umno…korup.

Ini bebanan yang terpaksa ditanggung oleh PKR. Kalau ada sekupang atau lima duit lagi perasaan menyokong Umno…tinggalkanlah. Itulah ucapan Nizar yang paling popular.

Apakah dalam Pas tak ada yang korup? Jangan tanya orang Pas. Mati hidup balik depa tak kan mengaku. Bezanya diantara Pas dan PKR ialah…dalam PKR ada banyak reformis. Reformis dalam PKR tak peduli tentang jawatan mereka. Orang macam Din Binjai tak kisah kalau dia disingkir dari jawatannya…yang salah tetap salah. Tak kira orang tu Timbalan Ketua Menteri dari parti dia. Tetapi dalam Pas…reformis perlu disingkirkan. Kesalahan perlu disapu kebawah tikar supaya imej parti sentiasa bersih…macam Umno.

Hangpa tau ka…ada ADUN PAS yang hidup mewah..sampaikan Nik Aziz tidak mahu memijak kaki kerumahnya? Hangpa tau ka…ada pemimpin Pas beli rumah baru ..selepas 6 bulan menjawat jawatan dalam kerajaan negeri? Hangpa tau ka…ada isteri pemimpin Pas yang bawa permohonan balak terus kepada Nizar? Aku tau…tapi bukan itu yang aku nak cerita. Mungkin lain kali.

Dan kalau dilihat korupsi dalam Pas…ia juga ada kaitan dengan Umno. Mereka yang terlibat ini adalah mereka yang sering berhubung rapat dengan Umno.

Ada pemimpin Pas yang bila saja memegang jawatan dalam kerajaan negeri…perkara pertama ialah tukar kereta… macam Umno. Ada yang tukar bini macam tukar pampers…macam Umno.

Sekarang…PKR sedang berusaha untuk mengikis pemimpin yang berfahaman Umno ini. Satu persatu. Tapi Pas pulak nampaknya sedang memberi ruang kepada budaya Umno ini.

Dalam PRK Bukit Gantang yang lalu.. Ustaz Nasha dan Hj. Asmuni angkat tangan mengaku kalah, dua hari sebelum hari mengundi. Sebabnya mereka mempercayaai maklumat dari MIO…satu cabang Umno. Cuma orang-orang seperti Nizar dan reformis dalam Pas dan PKR yang terus berusaha untuk menang. Kalau dibiarkan kepada Ustaz Nasha..Pas dah lingkup diBukit Gantang.

Sejak dua hari lalu…aku mendapat update dari kumpulan pemikir Ustaz Nasha. Whoa…dalam muktamar Pas pun sekarang pakai MIO! Rating Ustaz Nasha semakin meningkat..dan Ustaz Nasha menggunakan khidmat MIO!

Umno membantu sedaya upaya supaya Ustaz Nasha menang dalam Muktamar ini. Aku bukan perwakilan dalam muktamar ini dan aku tak ada hak mengundi. Cuma boleh pot-pet diluar.

Kalau hangpa pilih Husam atau Mat Sabu…aku seronok sebab mereka dari kumpulan reformis yang membawa politik baru..tanpa membawa bebanan budaya dan pemikiran Umno. Kalau hangpa pilih Ustaz Nasha pun aku tak boleh nak kata apa…tapi aku juga seronok sebab Pas dan PKR sudah sama. Sama-sama ada pemimpin yang berbudaya Umno.

Hang kata aku…aku boleh kata hang

Sumber : Matsamankati

Muktamar 55 : Pro-UMNO atau Pro-Pakatan?

Muktamar Pas makin panas. Tahun ni tak macam tahun-tahun yang lalu. Sebelum ni aku tak pernah ambil pot pasai Muktamar Pas..tapi tahun ni lain sikit.

Aku kata lain sebab Pas berada dalam keadaan paling kuat. Dua negeri dikuasai oleh Pas..Nasib tak baik Perak dirampas oleh UBN…kalau tidak …ada tiga Menteri Besar dari Pas.

Dan muktamar kali ini juga diwakili oleh begitu banyak golongan. Ulama, professional, puak muqabalah, puak erdogan…tak tau pasai apa tiba-tiba begitu banyak mazhab dalam Pas.

Apakah puak professional tak boleh jadi ulama? Apakah ulama tidak professional? Apa yang membezakan ulama dan professional? Apakah mereka yang belajar di Timur tengah itu dikatakan ulama, dan layak memimpin Pas…manakala yang belajar di universiti tempatan itu hanya layak digelar professional dan tak layak memimpin Pas.

Fuh!! aku ingatkan …Pas for all..rupanya macam Animal Farm juga. “All animals are equal but pigs are more equal than others.”

Bagi aku…gelaran-gelaran dan puak-puak yang digembar-gemburkan dalam Pas ini hanyalah usaha untuk menjahanamkan Pas.
Dan bagi aku…dalam Pas cuma ada dua golongan…pro-Umno dan pro-Pakatan.

Pro-Umno lebih selesa bekerjasama dengan Umno..sebab depa merasakan lebih baik bekerjasama dengan Umno atas dasar Melayu/Islam. Bagi depa..DAP lebih bahaya dari Umno. PKR juga lebih teruk dari Umno.

Manakala pro-pakatan lebih professional politik mereka. Mereka berpegang kepada janji.

Politik Pas turun naik macam wau. Bila ditiup angin…dia naik. bila tak ada angin..dia jatuh. Dan angin ini bergantung kepada Umno. Bila Umno jatuh…Pas naik. Bila Umno naik..Pas jatuh.

Tahun 90…Umno jatuh disebabkan perbalahan Tengku Razaleigh dengan Mahathir. Pas naik sampai dapat menawan Kelantan. Tahun 99, Pas dapat menambah satu lagi negeri…Terengganu…bila Anwar bergaduh dengan Mahathir.

Tahun 2004, Umno naik…dan Pas jatuh sampai hilang Terengganu. Kelantan tinggal nyawa-nyawa ikan.

Tahun 2008, Pas naik balik bila Mahathir bergaduh dengan Pak Lah. Pas dapat menawan Kedah dan menambah kerusi dengan banyak dinegeri-negeri lain.

Tetapi setiap kali Pas naik…yang bagi jatuh bukan sahaja Umno…tapi orang dalam Pas sendiri.

Tahun 99, Pas naik bila Anwar bergaduh dengan Mahathir. Tapi bila menang…Pas ingat orang sokong perjuangan dia. Dan ramai pemimpin Pas jadi besar kepala..terutama diTerengganu. Barisan Alternatif hanya tunggangan untuk mencari kemenangan…bila menang, BA diketepikan. Hj. Hadi…dengan bantuan penasihat-penasihat dari Terengganu…tidak memerlukan BA. Hasilnya…BA lingkup.

Tahun 2004…tak payah cakap. Dengan kekuatan Pak Lah dengan imej Mr. Clean…dan BA yang cacamarba…semua lingkup.

Selepas 2004, Anwar dibebaskan. Dari situ BA dipulihkan kembali. DAP yang meninggalkan BA juga kembali bersama walaupun tidak kembali kedalam BA. Tetapi Anwar berjaya menyatupadukan Pas, PKR dan DAP.

Tahun 2008…BA dan DAP berjaya memenangi 5 negeri dan terlahirlah Pakatan Rakyat. Pas mendapat dua negeri dan tiga Menteri Besar.

Tapi ada pemimpin Pas yang lupa diri. Bila menang…mereka kembali keperangai asal…melupakan kawan yang menaikkan mereka. Mereka lebih suka kepada musuh yang ditentang semasa pilihanraya…daripada rakan yang membantu mereka mencapai kejayaan. Mereka sanggup menikam kawan dan berpeluk dengan musuh. Dan ironisnya…mereka-mereka inilah yang dikategorikan sebagai golongan ulama.

Sebaik saja keputusan pilihanraya 2008 diumumkan…Hasan Ali berlari menemui Khir Toyo untuk menubuhkan kerajaan diSelangor. Masa aku mula-mula menulis perkara ini dulu…teruk aku kena maki hamun. Akhirnya kebenaran terserlah juga bila Pak Lah sendiri mengakuinya.

Tak habis disitu…ada pula usaha untuk bermuzakarah dengan Umno. Bila aku tulis tentang pertemuan di London diantara pemimpin Pas yang diketuai oleh Ustaz Nasharudin dengan pemimpin Umno…dengan bersaksikan wakil dari Ikhwanul Muslimin..lagi sekali aku kena maki. Mahfuz dan Ustaz Nasha juga mengeluarkan amaran akan menyaman mereka yang menyebarkan cerita. Masa tu ada tiga orang yang bercakap tentang pertemuan ini…Penarik Beca..Raja Petra dan Matsamankati. Tapi sampai hari ini tak ada sapa yang kena saman…sebab akhirnya rahsia tersebut pecah juga… dan apa yang kami cakapkan adalah benar.

Bukan setakat cerita itu benar..malah segala kertas cadangan untuk kerjasama tersebut telah dipersetujui! Tetapi apabila rahsia tersebut terbongkar…segala perancangan tersebut tidak berjaya.

Kemudian…mungkin kita masih ingat 16 September. Mengapa gagal? Siapa yang menggagalkannya?

16 September gagal kerana Hj. Hadi enggan bersetuju..kerana jumlah Ahli Parlimen Melayu/Islam dalam Pakatan Rakyat lebih rendah berbanding Bukan Melayu/Islam.

Hj. Hadi lebih rela Umno memegang kuasa daripada membiarkan Anwar menjadi Perdana Menteri…dengan jumlah Ahli Parlimen Melayu yang lebih sikit dari bukan Melayu. Walaupun Anwar sudah meyakinkan Hj. Hadi …bahawa lebih ramai Ahli Parlimen Umno akan menyertai Pakatan Rakyat bila tiba masanya..tapi Hj. Hadi enggan menerimanya.

Aku bukan nak menyalahkan semuanya kepada Hj. Hadi…kerana Hj. Hadi menerima nasihat dari penasihat-penasihatnya. Dan lebih malang…bila penasihat Hj. Hadi seperti Mustafa Ali dan Ustaz Nasha merupakan penyokong Umno…bukan penyokong Pakatan Rakyat.

Kalau dulu aku cerita benda ni…lagi teruk aku kena maki. Tapi bila orang Pas sendiri bukak cerita dan ia bukan menjadi rahsia lagi..baru aku cerita. Bukan pasai aku cuba menyembunyikan kebenaran…tapi biarlah orang Pas sendiri yang sedar. Tak la teruk aku kena maki lagi.

Mengapa Ustaz Nasha beria-ia benar nak berpeluk dengan Umno dan meninggalkan rakan-rakan yang menjulang Pas sehingga ketahap sekarang? Mengapa semasa kempen…Umno tu teruk sangat dan bila menang…DAP dan PKR pulak yang teruk? Mengapa pengundi-pengundi ditipu?

Dan orang-orang yang mahu berpeluk dengan Umno ini…sekarang dikategorikan sebagai Ulama…manakala yang taat kepada janji-janji pilihanraya..tidak layak dipanggil Ulama…tetapi sekadar Professional! Dan orang professional tidak layak memimpin Pas!

Apakah kerja Ulama itu memperkudakan rakan-rakan untuk naik…dan memperdayakan pengundi untuk menang pilihanraya? Dan bila menang…kuda-kuda tunggangan patut ditembak mati dan pengundi-pengundi yang menyokong dulu diketepikan?

Muktamar Pas kali ini akan menjadi ‘turning point’ sama ada Pas akan naik lagi dalam pilihanraya akan datang…atau jatuh sekali lagi.

Dan sekiranya ahli-ahli Pas memilih mereka yang mahu berpeluk dengan Umno..Pakatan Rakyat akan jatuh lagi macam BA tahun 2004. Pas bukan sahaja akan dilihat gagal mengurus kemenangan…malah akan dilihat sebagai tidak tahu menunaikan janji.

Sumber : Matsamankati