Saturday, February 27, 2010

Dr. Mujahid cabar Zahrain

GEORGETOWN - Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa mencabar Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim meletak jawatan wakil rakyat akibat sikapnya yang kontroversi dan ‘menikam’ kepimpinan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang.

Dr Mujahid yang juga Yang Dipertua Pas kawasan Bayan Baru berkata, Zahrain tidak wajar lagi untuk terus memegang jawatan itu kerana kemenangannya pada pilihan raya lalu adalah sebagai wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR), komponen PR.

:“Apabila beliau menikam kita dari belakang, Zahrain sepatutnya mengambil tindakan yang lebih bermaruah iaitu meletak jawatan wakil rakyat. Beliau patut sedar, beliau menang atas tiket pakatan dan jika sudah tidak lagi sealiran dengan pakatan, buat apa tunggu lagi?” katanya.

Dr Mujahid berkata, ahli Pas kawasan Bayan Baru memandang berat tindakan Ahli Parlimen berkenaan dan tidak menyokong jika beliau masih mahu terus menjadi wakil rakyat kawasan itu.

“Beliau banyak melukakan hati kita di sini. Tidak sepatutnya lagi dia tunggu jika dia sudah tidak suka kepada kita,” katanya.

Menurutnya, Zahrain sejak awal lagi tidak sewajarnya membuat kenyataan yang boleh menjejaskan PR.

:“Tindakannya melambangkan sikap yang tidak sihat serta ia membuka ruang kepada UMNO ataupun Barisan Nasioanl (BN) menyerang PR. Sekurang-kurangnya dia perlu hormat dan ingat bahawa dia menang pilihan raya atas tiket dan sokongan kita.

“Kalau tidak suka, jangan sampai tidak hormat dan sikap seperti itu juga menjejaskan penghormatan orang lain terhadap dirinya,” katanya.

Dr Mujahid berkata, Zahrain ternyata emosi apabila ‘meletupkan’ isu ketidakpuasan hatinya terhadap Ketua Menteri Lim Guan Eng di hadapan media sedangkan beliau sepatutnya menggunakan saluran parti untuk berbincang secara terbuka.

“Beliau pernah ada jawatan, mengapa tidak guna saluran parti? Ini menunjukkan Zahrain seorang pemimpin yang tidak berprinsip dan mempunyai kepentingan untuk menyembunyikan sesuatu iaitu daripada tindakan itu,” katanya.

Sehubungan itu, kata Dr Mujahid, ahli Pas kawasan Bayan Baru menuntut Zahrain memohon maaf kepada seluruh pengundi yang memberi undi kepadanya atas tiket PKR pada pilihan raya umum lalu kerana beliau telah mengkhianti kepercayaan mereka.

“Selain itu, Zahrain juga digesa untuk menarik balik kenyataan beliau terhadap Ketua Menteri Lim Guan Eng yang disifatkan sebagai ‘diktator’, ‘cauvinis’ dan ‘berfikiran komunis’, ia merupakan fitnah terhadap kepimpinan Guan Eng yang mengetuai PR, bukan semata-mata DAP.

“Seterusnya, saya bagi Pihak Pas kawasan Bayan Baru mencabar Zahrain mengemukakan fakta dan bukti atas dakwaannya itu. Jika gagal, beliau dianggap menipu atau memfitnah,”katanya.

1 comment:

  1. tu pun kalo zahren ado teloq laa...kalo teloq dio takdok...jgn harap le dio nak letok jawatan...

    tapi awas, pakatan rakyat penang harus bersedia dari sekarang, mana nak pi tau, kot2 dia mau letak jawatan...mau kelam-kabot nak ada PRK Bayan Baru? mana ada pimpinan semua pikiaq kalau jadi camni? kalau jadi, baru nak kelupoq berebut la pas, pkr dgn dap sapa nak jadi calon...dah tu satgi sapa tak terpilih, merajuk..masok ameno..keluaq parti pulakkk...kah kah kah..alahai pkr...

    ReplyDelete