Friday, October 29, 2010

Pemilihan 2010 : Peratusan keluar undi merosot 50 peratus

Peratusan keluar mengundi hari pertama pemilihan pucuk kepimpinan pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) — yang memperkenalkan sistem pemilihan langsung buat julung kali — dipercayai merosot hampir separuh berbanding ketika pemilihan peringkat bahagian bulan lalu.

Senario itu disaksikan di lima cabang awal di Kedah yang melangsungkan proses pengundian hari ini.

Proses pengundian yang bermula pukul 10 pagi tadi berakhir 4 petang. Proses pengiraan sedang berlangsung tetapi keputusan rasmi hanya akan diketahui bulan depan.

Difahamkan senario yang sama disaksikan di Kelantan hari ini.

“Kami sebenarnya telah mengharapkan kadar sekurang-kurangnya seperti yang disaksikan semasa pemilihan cabang iaitu 18 hingga 20 peratus, tetapi hanya sekitar 10 peratus yang keluar mengundi di lima cabang di Kedah hari ini,” kata Senator Zamri Yusof ketika dihubungi The Malaysian Insider petang ini.

Pengerusi Biro Latihan PKR Kedah ini berkata, kemungkinan ramai menganggap pemilihan pucuk kepimpinan “tidak dekat dengan mereka” berbanding pertandingan peringkat cabang tempoh hari.

Difahamkan ketika pemilihan cabang usaha dipertingkatkan oleh calon-calon yang bertanding untuk mendapatkan sokongan, tetapi kini pengundian hanya membabitkan jawatan pusat iaitu presiden, timbalan presiden, naib presiden, anggota Majlis Pimpinan Pusat, sayap Angkatan Muda Keadilan dan Wanita.

“Sepatutnya ada kesedaran tinggi untuk keluar membuang undi selepas mereka mengundi hari itu, sebab ini pemilihan pusat, yang patut dekat dengan mereka juga,” kata bekas pengerusi PKR Kedah ini.

Beliau yang memantau perjalanan pemilihan pusat di negeri Kedah berkata, secara peribadi beliau tidak berpuas hati dengan peratusan yang keluar mengundi hari ini.

“Saya memang tak gembira dengan paras hari ini, perlu dilakukan sesuatu selepas ini,” kata beliau.

Secara purata PKR merekodkan peratusan keluar mengundi sekitar 20 peratus selepas selesai mengadakan pemilihan cabang awal bulan ini.

“Selepas ini, kami perlu melipatgandakan usaha bagi menaikkan peratusan keluar mengundi,” kata beliau.

Esok, dua lagi cabang di Kedah akan mengadakan pengundian dan disusuli dengan lapan cabang dalam dua minggu lagi, kata beliau.

Cabang yang akan mengadakan pengundian esok ialah Kulim-Bandar Baharu dan Padang Serai.

“Mungkin esok kita tidak boleh buat apa-apa, tetapi bagi cabang-cabang lain yang akan mengadakan pengundian, usaha perlu dipergiatkan,” kata beliau yang secara berseloroh beranggapan bahawa ramai memberi tumpuan ke atas pilihan raya kecil serentak DUN Galas dan Batu Sapi.

Pemilihan menggunakan sistem langsung, yang julung kali diadakan PKR membolehkan lebih 400,000 ahlinya keluar mengundi memilih pucuk kepimpinan pusat.

Proses pengundian akan membabitkan 69 cabang hujung minggu ini, bermula pagi ini di sebalik negara khususnya PKR memberi tumpuan ke atas dua pilihan raya kecil serentak — Galas di Kelantan dan Batu Sapi di Sabah.

Pada hari pertama hari ini sahaja 10 cabang dijadual membuang undi iaitu masing-masing lima di Kelantan dan Kedah.

Cabang-cabang itu ialah Tumpat, Kota Baru, Pasir Mas, Rantau Panjang, Pengkalan Chepa, Langkawi, Kubang Pasu, Alor Setar, Kuala Kedah dan Pokok Sena.

Bagaimanapun pengundian cabang Pasir Mas ditangguhkan sehingga 6 November.

Kesemua cabang itu merupakan bahagian pertama mengadakan pemilihan peringkat cabang pertengahan bulan lalu tanpa sebarang masalah besar.

Pemilihan akan berlangsung setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad selama tiga minggu.

Esok, sebanyak 32 cabang akan mengadakan pengundian iaitu sembilan di Perak, Perlis (tiga), Kedah (dua), Pahang (tujuh), Negeri Sembilan (enam) dan Kelantan (lima).

Pada hari ketiga Ahad ini, 27 lagi cabang terlibat dalam proses pengundian dengan lapan di Perak, Pahang (tujuh), Pulau Pinang (enam), Melaka (empat) dan Negeri Sembilan (dua).

Pengundian seterusnya akan diadakan pada 6, 7, 12, 13, 14, 20 dan 21 November.

Tumpuan pemilihan pusat kali ini adalah pada jawatan timbalan presiden yang saingi Azmin Ali, Mustaffa Kamil Ayub dan Datuk Zaid Ibrahim.

Seramai 17 calon bertanding kerusi naib presiden iaitu calon PKR di Batu Sapi Ansari Abdullah sendiri, Baru Bian, Dominique Ng, Fuziah Salleh, N. Gobalakrishnan, James Ghani, Jonson Chong, Datuk Mansor Othman, Nurul Izzah Anwar, R. Sivarasa, S. Manikavasagam, Saiman Marjuki, R. Suresh Kumar, Tian Chua, Dr Xavier Jayakumar, Yahya Sahri dan Yusmadi Yusoff.

Seramai 33 bertanding kerusi MPP.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah mempertahankan jawatan presiden tanpa cabaran.

Dalam pada itu, jawatan ketua Wanita menyaksikan persaingan tiga penjuru antara penyandang Zuraida Kamaruddin, Animah Ferrar dan Suraya Sudin manakala penyandang Shamsul Iskandar Mohd Akin dicabar oleh Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai “Chegubard” bagi kerusi ketua Angkatan Muda Keadilan.


No comments:

Post a Comment