Wednesday, May 6, 2009

PAS marah lagak Anwar dalam Pakatan

PAS marah dan kecewa dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak berunding dengan pemimpin parti itu dan DAP sebelum PKR mengumumkan kekosongan DUN Penanti, kata seorang pemimpin PAS Pulau Pinang.

PAS juga mendakwa mereka kesal dengan tindakan ketua pembangkang itu yang berlagak seperti "orang besar" dalam Pakatan Rakyat yang "tidak menghormati" pemimpin parti-parti lain.

"Beliau selalunya bercakap tentang (pentingnya) Pakatan Rakyat, (tetapi) contoh terbaru, isu Fairus letak jawatan (diputuskan) tanpa berbincang dengan DAP dan PAS pusat," kata pemimpin itu yang enggan dikenali.

"Tak berbincang. Dia buat macam orang besar dalam Pakatan. Tak hormat (rakan Pakatan yang lain)."

Menurut sumber itu, tindakan sebelah pihak Anwar itu boleh menggugat kesatuan gabungan pembangkang di Pulau Pinang kerana memaksa PAS dan DAP "mengikut caranya."

"Pakatan Rakyat tidak boleh pergi (bertahan) lama kalau bergantung ikut cara dia, ikut kehendak dia," katanya.

Tindakan penasihat PKR yang tidak berbincang tentang peletakan Mohamad Fairus tanpa memikirkan kesan kepada Pakatan khususnya menyebabkan akar umbi kecewa dengan situasi tersebut.

"Pengundi dan ahli akar umbi PAS dan PKR kecewa," katanya.

Tambah sumber, beliau dimaklumkan kemungkinan penyokong PAS dan PKR di Penanti tidak akan keluar mengundi sekiranya PKR meletakkan calonnya Mansor Othman dalam pilihanraya kecil itu, 31 Mei ini.

Berdasarkan maklum balas akar umbi parti itu, pemimpin tersebut berasa bimbang dengan situasi itu, kemungkinan calon Pakatan Rakyat kalah.

Beliau juga mendengar rungutan daripada perayu-perayu undi di kalangan Dewan Muslimat yang menghadapi masalah untuk meyakinkan pengundi setelah menguar-uarkan Mohamad Fairus – calon muka baru – boleh berkhidmat untuk mereka dalam pilihanraya umum tahun lalu.

"(Muslimat memberitahunya:) Apa lagi yang kami nak cakap, (dulu) kata Fairus boleh buat kerja, tiba-tiba letak jawatan sebab tidak berprestasi, jadi macam nak yakinkan pengundi (sekali lagi)?" katanya.

Kemarahan mereka itu diterjemahkan antaranya dengan kenyataan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang minta isu pengunduran Mohammad Fairus Khairuddin ditanyakan sendiri kepada Anwar, kata sumber lagi.

Selain kelambatan Anwar mengumumkan pengganti jawatan timbalan satu ketua menteri yang ditinggalkan Mohammad Fairus, pemimpin DAP itu juga tidak senang apabila tidak dimaklumkan tentang langkah mengosongkan jawatan tersebut.

Susulan itu, dalam mesyuarat agung kawasannya, PAS Permatang Pauh sebulat suara meminta pucuk pimpinannya meletakkan calon dalam pilihanraya kecil itu.

Ketua Pemuda PAS negeri waktu itu Mohamed Hafiz Nordin kemudian turut membuat desakan yang sama. Desakan itu disusuli dengan kenyataan Timbalan Pesuruhjaya PAS Mujahid Yusof Rawa.


Muktamar Dewan Pemuda Pulau Pinang, Ahad lalu, turut memutuskan sebulat suara daripada kira-kira 100 perwakilan agar PAS meletakkan calon dalam pilihanraya kecil tersebut.

"Perhubungan (PAS) negeri pun berpandangan yang sama," kata sumber.

No comments:

Post a Comment