Thursday, February 4, 2010

Mengapa baru sekarang Zahrain nak bising??

Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan menangis jika kehilangan satu atau dua pemimpin yang tidak sealiran.
Pengerusi PKR Pulau Pinang, Mansor Othman berkata, tiada siapapun akan menghalang jika mereka mahu keluar parti.
"Kita tidak akan menangis kehilangan mereka. Ini kenyataan yang agak keras. Kalau dia nak tinggal, dia nak berhenti, berhentilah. Kita tidak akan menghalang. Ia tidak akan menjejaskan hubungan atau gabungan dalam PR," katanya pada sidang media bersama Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow di sini.
Beliau diminta mengulas tindakan beberapa pemimpin PKR di Pulau Pinang yang lantang mengkritik kepimpinan parti dan DAP, rakan dalam Pakatan Rakyat (PR) yang dilihat seolah-olah berlaku keretakan dalam hubungan dua parti itu.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim mengecam Ketua Menteri, Lim Guan Eng sebagai diktator, chauvinis dan berfikiran komunis manakala Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng mencadangkan agar Guan Eng ditukar.

Sehubungan itu, Mansor yang juga Timbalan Ketua Menteri I, mempersoalkan kenapa pemimpin terbabit tidak mengkritik ketika sama-sama berada dalam kerajaan suatu masa dahulu atau ketika memimpin parti.

“Sebagai contoh Datuk Seri Zahrain (Mohd Hashim). Dahulu, dia jadi Pengerusi PKR Pulau Pinang, masa itu kenapa dia tak cakap.

“Sekarang dah tak jadi pengerusi baru nak cakap. Dulu awat tak cakap. Kenyataan yang pedas .... saya tak akan menangis,” katanya.

Ditanya mengenai tindakan yang akan diambil, beliau berkata “apa saya nak buat. Tanyalah mereka”.

Ditanya mengenai kenyataan Tee Beng agar Guan Eng digantikan dengan pemimpin PR lain, Mansor berkata, itu bukan pendirian parti sebaliknya pendapat peribadinya.

Menurutnya, kemelut yang berlaku dalam PKR adalah disebabkan beberapa faktor termasuk cubaan BN untuk mendapatkan beberapa Ahli Parlimen lain untuk menyokong mereka bagi mencukupkan bilangan majoriti 2/3 di Dewan Rakyat.

“Adakah kita lupa bahawa BN perlu mendapatkan majoriti 2/3 majoriti dengan lapan kerusi lagi. Adakah mereka akan diam sahaja atau berhenti daripada berusaha untuk mendapatkannya atau tidak buat apa.

“Cuba kita fikir perkara ini untuk mendapatkan jawapannya,” katanya.

Selain itu, masalah parti ditimbulkan oleh pemimpin yang baru masuk PKR, dua atau tiga tahun dan bukan orang yang berjuang bersama PKR pada 1998 atau 1999.

“Dulu Datuk Seri Anwar Ibrahim keluar parti, dia masuk. Dia nampak ada ruang. Sekarang ini kerana kes Anwar, dia ingat Anwar kena perangkap dan masuk lokap sekali lagi.

“Jadi akan timbul kesusahan kepada mereka, baik aku keluar awal-awal. Ini trendnya kerana yang timbulkan kesusahan kepada kita bukan orang dahulu atau pengasas (founder), bukan ahli parti yang sezaman dengan saya dahulu pada 1998,” katanya

Mansor berkata, mereka adalah orang baru yang masuk parti dua tahun lalu dan bukan orang yang sudah berada 10 atau 12 tahun dalam parti.

“Orang dulu tak cakap tentang perjuangan? Kita tahu apa itu perjuangan. Kita tahu apa nak buat dan apa nak ubah untuk negara ini atau bentuk baru dalam politik tanah air.

“Ini tidak, baru dua tahun dah nak bercakap tentang melencong daripada perjuangan. Tuduh pemimpin parti pula yang melencong daripada perjuangan. Apa ni, siapalah awak untuk menimbulkan soalan seperti itu,” katanya sambil bangun untuk beredar.

Diminta komen mengenai kenyataan Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi yang menyifatkan ramai ahli dan pemimpin PKR seperti sampah sarap dan wajar dibersihkan, beliau berkata ia disebabkan oleh pemimpin baru seperti yang dijelaskan tadi.

“Kan saya baru cakap tadi. Itulah puncanya,” katanya.

Diminta mengulas lanjut mengenainya, beliau berkata biarlah pemimpin DAP yang menguruskan perkara berkenaan.

Sumber : Sinar Harian

No comments:

Post a Comment