Saturday, January 29, 2011

Akhirnya Gobala telah membuat keputusan...


Selepas dikecohkan akibat teguran dan kritikan pedasnya terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan perlantikan R.Surendran sebagai Naib Presiden PKR yang dilantik baru-baru ini, akhirnya N.Gobalakrisnan (foto) mengambil keputusan untuk melepaskan semua jawatannya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR). Keputusan itu dibuat menerusi laman sosial Twitter beliau hari ini. Gobala selaku Ahli Parlimen Padang Serai juga menyatakan bahawa beliau akan meneruskan kerja-kerjanya melalui sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang baru. Biar pun ramai pihak dalam PKR yang gembira dengan keputusan beliau ini, namun bagi kami Gobala adalah antara pejuang tulen dalam PKR sejak sekian lama. Beliau rela bertempur dengan pihak polis dan sanggup diperlakukan apa saja demi mempertahankan Anwar Ibrahim. Malah, dalam ceramah-ceramahnya beliau begitu berani mengkritik kerajaan UMNO BN tanpa rasa takut dan gentar. Melihat kepada jasa dan sumbangan beliau kepada PKR selama ini, maka adalah amat wajar dia diangkat sebagai pemimpin PKR yang mewakili kaum India dalam parti itu. Namun, tindakan Anwar mengambil Peguamnya yang langsung tidak bertanding dalam Pemilihan PKR 2010 lalu jelas sekali satu tindakan yang tidak sewajarnya berlaku. Surendran walau pun hebat di mata Anwar, namun bagi rakyat jelata Gobalakrisnan jauh lebih hebat dari itu. Makanya, adalah lebih baik Gobala diangkat sebagai pemimpin India dalam parti itu. Namun, kenapa ini tidak berlaku?. Inilah yang menjadi masalah dan menyebabkan ketegangan yang berlaku dalam parti itu sebenarnya, Makanya perginya Gobala adalah satu kehilangan besar buat PKR. Apakah lebih ramai lagi yang akan pergi meninggalkan parti itu selepas ini agaknya.

[Soalnya sekarang apakah Gobala akan menjadi Ahli Parlimen Bebas seperti rakan-rakan Wakil Rakyat PKR yang lain sebelum ini. Atau mungkinkah dia akan menyertai Parti KITA yang dipimpin oleh Datuk Zaid Ibrahim itu agaknya. Tambahan pula, kelibatnya dapat dilihat ketika majlis pelancaran KITA pada 19 Januari yang lalu. Kini, seorang demi seorang pemimpin utama PKR mengambil keputusan meninggalkan parti itu. Mahu disalahkan 100% kepada mereka yang keluar itu, tidak patut juga kerana ramai yang tahu apakah masalah yang berlaku dalam PKR ketika proses pemilihan PKR 2010 lalu. Semua ini menurut mereka melibatkan campurtangan pihak atasan parti yang mahu memastikan "cai-cai" mereka dimenangkan bagi membentuk kepimpinan baru PKR untuk tiga tahun yang akan datang. Kini mungkin ramai lagi yang akan berbuat demikian sebenarnya, cuma mereka masih menunggu masa dan ketika untuk bertindak demikian. Apapun, semoga mereka berjaya dengan haluan baru masing-masing. Perjuangan membela rakyat boleh diteruskan dalam apa jua cara sekali pun. Apa yang penting ialah niat yang jujur untuk melakukan perubahan. Itu yang lebih penting].

No comments:

Post a Comment