Kenyataan Harian Metro Sabtu, 11 Disember 2010
KUALA LUMPUR: “Jangan memaksa dia (Suzie) terus berhenti daripada pekerjaannya sebagai pelayan pelanggan (GRO), sebaliknya beri masa untuk dia berubah,” kata pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Fadzilah Kamsah (gambar) ketika mengulas laporan mengenai seorang GRO yang kini sarat mengandung ingin kembali ke pekerjaan asal sebaik bersalin kerana mendakwa hanya itu pekerjaan mampu dilakukan bagi menyara anaknya itu.
Beliau berkata, dalam kes seperti ini, paksaan untuk berubah bukanlah jalan penyelesaian terbaik untuk membantu wanita itu.“Suzie boleh meneruskan pekerjaannya sebagai GRO, tetapi dalam masa sama dia hendaklah tidak reda melakukan kerja itu hingga mendatangkan kebosanan dan tidak seronok untuk bekerja lagi.
“Dengan cara itu, dia boleh berubah sedikit demi sedikit, kemudian mencari pekerjaan halal yang lain, sebaik mendapat pekerjaan lain, dia perlu berhenti terus melakukan kerja lamanya itu. “Suzie perlu menganggap kerja dilakukannya itu kerana sedang berada dalam keadaan darurat dan perlu cepat-cepat menukar pekerjaan. “Sebaliknya, pihak yang membantu pula perlu memberi bimbingan. Sebagai contoh nasihat yang baik dan mengingatkan dirinya mengenai setiap yang hidup pasti akan mati supaya dia tidak terus melakukan dosa,” katanya.
Menurutnya, wanita itu memerlukan kumpulan penyokong yang kuat yang akan terus memberi semangat untuk dia berubah seperti rakan, jiran dan kewaja sendiri.
“Siapa kita untuk menghukum kesilapan dilakukan Suzie. Jika dia bertaubat nasuha, dosanya semua akan kosong dan dia akan jadi seperti bayi yang baru lahir. Itu janji Tuhan kepada kita.
“Oleh itu, masyarakat tidak boleh menuding jari kepadanya, sebaliknya sama-sama memberi dorongan untuk berubah,” katanya.
Beliau turut menasihati pembaca sama ada yang bersimpati atau yang membenci Suzie mendoakan dia berubah dan kembali ke jalan diredai.
“Saya percaya wanita ini mempunyai masalah dalaman yang agak sukar diungkapkan kerana berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul, masyarakat sekeliling harus membantunya keluar dari pekerjaannya ini dengan memberi sokongan dan dekati diri mereka sebagai rakan akrabnya,” katanya.
Ulasan:
Saya kurang bersetuju dengan pendapat pakar motivasi tersebut, kerana pakar motivasi tersebut bukan berasal dari orang yang belajar agama atau bidang agama, dia hanya pakar motivasi biasa sahaja dan tahu sedikit sebanyak tentang agama. Banyak hujah-hujahnya yang saya tidak setuju seperti dia mengatakan bahawa adanya bohong sunat, sebenarnya dalam Islam tiada bohong sunat, hanya ada helah. Bohong sunat itu disandarkan kepada sunnah Nabi Muhammad saw. Jadi hal ini bertentangan dengan sifat nabi iaitu benar dan amanah. Terbaru dia mengeluarkan fatwa yang berkaitan dengan masalah pelacuran atau GRO dengan mengatakan bahawa boleh teruskan dengan sebab dharurat untuk mendapatkan sedikit sebanyak duit penyaraan anaknya nanti.
Islam tidak pernah meredhoi atau menghalalkan zina walaupun dalam keadaan dharurat sekalipun. Kaedah Fiqh dua perkara yang tidak boleh dilakukan ketika dharurat iaitu membunuh atau bunuh diri dan berzina. Jadi jelas di sini tiada istilah halal melacur atau GRO untuk menyara kehidupannya. Kalau dilihat dari sudut keupayaan dan tenaga pelacur atau GRO tersebut, masih sihat dan bertenaga lagi untuk membuat kerja-kerja yang halal, seperti basuh pingan, kilang, pengawal, peminta sedekah, pembantu rumah, tukang kebun dan sebagainya. Kenapa pulak pakar motivasi tersebut mengatakan dharurat, sepatutnya pakar motivasi tersebutlah yang membantunya memberikan pekerjaan atau wang zakat untuk mengelakkan dirinya terus bergelomang dalam dosa sebab pakar motivasi tersebut adalah jutawan (sindiran semata-mata).
Tidak sesuai kes-kes agama dirujuk kepada pakar motivasi yang jelas bukan dari orang yang ahli agama, sepatutnya kes seperti ini dirujuk kepada orang agama supaya pendapat yang diberikan tidak menyimpang jauh dari syarak. Saya harap pakar motivasi tersebut rujuklah dahulu kepada orang yang pakar agama supaya hujah-hujahnya mempunyai sandaran atau sanat yang teguh dan tidak menyimpang jauh. Hal agama bukan boleh dimain-mainkan, kerana ia mempunyai kaitan dengan dosa dan pahala. Pakar motivasi tersebut perlu membuat kenyataan susulan atas kesilapannya dahulu, supaya masyarakat yang membaca kenyataannya di Harian Metro 11 Disember 2010 tidak dijadikan pegangan ataupun hujah.
No comments:
Post a Comment