Friday, December 3, 2010

Ramalan Tarikh Pilihan Raya Umum ke-13

Oleh : Nobisha


Bilakah tarikh pilihanraya umum ke13?

Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim meramalkan pada Mac 2011; walaupun mandat Barisan Nasional untuk terus memerintah sehingga Mei 2013.

Saya tak fikir Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak akan mengadakan pilihanraya umum ke13 pada tahun 2011. Walaupun ada petunjuk bahawa sokongan rakyat mula kembali kepada Barisan Nasional, namun ia belum mencapai ke tahap yang dihasratkan Najib.

Walaupun banyak faktor – termasuk ekonomi – akan diambilkira oleh Najib, namun akhir sekali ia akan berkisar kepada lima faktor berikut:

1. Inisiatif dalam NKRA, GTP dan ETP memberikan hasil yang boleh dilihat. Sekarang ini rakyat hanya melihat angka. Mereka ingin melihat dan menyentuh inisiatif-inisiatif tersebut. Kalau sekadar angka, rakyat mungkin tidak memberikan undi kepada parti kerajaan.

2. Sokongan masyarakat Cina dan India bertambah sebanyak 10-15% daripada apa yang ada sekarang (dan ini membolehkan Barisan Nasional menguasai dua pertiga kerusi Parlimen). Simulasi pengundian PRU13 yang dilakukan menunjukkan perubahan undi Cina dan India sebanyak itu, ditambah dengan kemampuan mengekalkan sokongan pengundi Melayu akan membolehkan Barisan Nasional terus memerintah.

3. Tidak ada sebarang isu besar yang membebankan rakyat. Saya melihat Najib cuba menguruskan isu-isu ini kerana kegagalan Tun Abdullah Ahmad Badawi berbuat demikian menyebabkan kemarahan rakyat yang tinggi dalam PRU12 lalu. Contoh: dalam kes harga minyak, walaupun harga RON97 naik (tidak lagi subsidi, mengikut harga pasaran), namun alternatif dalam bentuk RON95 menyebabkan sebahagian besar rakyat tidak merasai implikasinya secara langsung.

4. Pengukuhan parti-parti komponen Barisan Nasional. UMNO telah menangguhkan pemilihannya pada tahun hadapan, manakala MIC pula akan melakukan perubahan kepimpinan nasional. Sekiranya Barisan Nasional bertambah mantap dan jentera akar umbi parti lebih tersusun, ia adalah masa yang sesuai untuk mengadakan pilihanraya.

5. Keputusan pilihanraya negeri Sarawak. Walaupun ada pihak yang meramalkan PRU13 akan diadakan serentak dengan pilihanraya negeri Sarawak, namun saya tidak berpendapat begitu. Berdasarkan simulasi pilihanraya negeri Sarawak yang dilakukan, saya menjangkakan maksimum pembangkang akan menang di Sarawak ialah 15 kerusi daripada 71 kerusi. Barisan Nasional akan menggunakan kemenangan dalam pilihanraya negeri Sarawak (mandat berakhir Julai 2011) untuk menjadi momentum PRU13.

Atas alasan-alasan inilah, maka saya menjangkakan PRU13 tidak akan diadakan pada tahun 2011 (tidak juga Mac 2011 seperti ramalan Anwar), tetapi pada separuh tahun pertama 2012.

Nak bertaruh?


No comments:

Post a Comment