Sunday, December 26, 2010

Merindui suara Dewan Ulama' PAS

Oleh ZULKIFLI YAHAYA

Sementara menunggu penjelasan Dr Muhammad Uthman El-Muhammady sama ada benar atau tidak beliau mendakwa bahawa golongan yang mempertikaian kedudukan Islam dan orang Melayu seperti mana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan merupakan mereka yang berfahaman plularisme yang mesti ditentang kerana fahaman itu jelas berlawanan dengan ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w; seorang sahabat lulusan Universiti Al-Azhar memaklumkan kepada saya, memang benar itu kenyataan beliau.

"Saya dah lihat kertas kerja yang dibentangkan itu, memang betul itu kenyataan Dr Uthman Muhammady," ujarnya.

Jika betul pun bukanlah pelik sangat kerana di akhir zaman ni macam-macam jenis ulama yang muncul. Dakwaan itu dikuatkan lagi apabila selepas beberapa hari berita itu dilaporkan oleh sebuah akhbar harian primitif yang menjadi talibarut Umno, Dr Muhammad Uthman tidak pula membuat penafian. Seorang 'ilmuan besar Islam' itu pasti membuat pembetulan jika kenyataannya disalahlapor. Manakala jika beliau tidak membuat pembetulan pula bermakna beliau hujahnya itu mengelirukan umat Islam.

Dalam keluaran terdahulu saya menulis bahawa menuduh pihak yang mempertikaikan kedudukan Islam dan orang Melayu seperti mana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai perbuatan yang jelas berlawanan dengan ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. adalah kenyataan yang keterlaluan.

Perlembagaan Persekutuan tidak pernah meletakkan Islam di tempat tertinggi sehingga setiap agenda bertindak dalam pemerintahan mesti dirujuk kepada Islam. Bangsa Melayu juga bukan satu bangsa yang terlalu istimewa di mata Rasulullah s.a.w. sehingga mempertikaikan "kedudukan orang Melayu" adalah bertentangan dengan ajaran Islam yang dibawa baginda.

Perlembagaan Persekutuan tidak terlalu suci (menurut Islam) sehingga mempertikaikan mana-mana aspek di dalamnya dianggap bertentangan dengan Islam. Jika pluralisme agama mesti ditentang maka Perlembagaan Persekutuan adalah contoh pluralisme. Ia bukan perlembagaan yang berasaskan wahyu Allah. Jika ada unsur kebaikan tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan, maka tidakkah ia semacam "golongan pluralisme" (seperti yang dilabelkan) menerima unsur kebaikan dalam agama lain?

Apa yang dikesalkan ialah perbuatan melemparkan tuduhan sewenang-wenangnya terhadap pihak lain; sebagai kononnya melakukan perbuatan yang bertentangan dengan Islam (sesat), hanya kerana mempertikaian kedudukan Islam dan orang Melayu seperti mana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia adalah persoalan besar.
Persoalan antara hak dan batil, persoalan syurga dan neraka. Apatah lagi jika perbuatan tersebut seolah-olah mahu "menyelaraskan" agenda politik pihak tertentu dalam projek propaganda mereka untuk membunuh musuh politik kepada parti berkuasa kononnya golongan tersebut adalah anti ketuanan Melayu.

Mengapa segelintir orang yang bergelar ulama ini sanggup memperhina diri sendiri dengan mempertaruh kesucian Islam, lebih-lebih lagi dalam persoalan aqidah? Perbuatan ini sangatlah melampau.

Persoalan yang lebih besar dari itu ialah mengapa pula isu-isu yang melibatkan akidah seperti itu tidak ditangani oleh ulama-ulama tulen, ulama yang tiada kepentingan dengan pemerintah yang zalim dan ulama-ulama haraki.

Jika dalam isu-isu semasa, pemimpin politik kita tangkas menjawab setiap persoalan yang disensasikan oleh pihak lawan. Pantang diserang, pasti ada jawapannya sama ada jawapan berlandaskan fakta atau jawapan politik.

Maka dalam isu yang membabitkan akidah, ia tidak begitu lumayan. Saya tertarik pada kenyataan Ustaz Taib Azamudden menjelaskan isu tindakan Menteri Besar Kelantan hadir di majlis anjuran Buddha. Hujahnya meyakinkan.

Kalau boleh biarlah ramai ulama bercakap atas hujah ilmu untuk semua isu, terutama yang berkait dengan akidah.

Penjelasan dan serangan kadang-kadang tidak muncul setiap kali ulama-ulama pro BN menyerang. Semacam pantun yang tidak berjawab.

Ulama-ulama muda Umno sekarang bukan main lagi ghairah berhujah, mempertahankan kepimpinan mereka. Mereka ini sewajarnya dihamburkan dengan hujah juga, maksudnya hujah ilmu oleh golongan ulama bukannya kutukan politik. Macamlah juga untuk berdepan dengan dengan Dr Muhammd Uthman Muhammady ini, sepatutnya ulamalah juga bukannya penulis politik picisan.

Dalam tanzim PAS kita mempunyai Dewan Ulamak. Setiap isu yang berbangkit, terutama persoalan akidah, kenyataan atau penjelasan mestilah pantas dan tuntas. Rindu juga rakyat pada suara Dewan Ulamak. Janganlah pendiam dan pemalu sangat.


No comments:

Post a Comment