Thursday, March 10, 2011

Adakah PKR dan UMNO sama?


Salam Keadilan,

Pagi tadi kedengaran satu berita yang sedikit mencuit hati dan perasaan di mana sebuah parti dari gugusan Pakatan Rakyat telah mendesak supaya SPR bertindak di atas aduan yang melibatkan jual beli undi ketika dua pilihanraya kecil berlangsung serentak baru-baru ini. Petikan berita adalah seperti di bawah;
Keputusan pilihan raya kecil di Merlimau dan Kerdau yang baru sahaja berlangsung pada 6 Mac lalu sememangnya telah diduga. Selain menyedari dua Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut adalah kubu kuat BN kita dapati imbuhan keterlaluan telah dilemparkan kepada pengundi. KEADILAN mendesak supaya SPR dapat bertindak dengan bebas dan berkecuali serta peka terhadap aduan-aduan yang diajukan oleh kedua-dua belah pihak secara adil dan telus. - keadilandaily.com
Mencuit hati dan perasaan ialah apabila mengenangkan sejak bila SPR bertindak adil dan saksama terhadap parti bertanding dalam pilihanraya kecil/besar selain daripada memberi jalan mudah kepada parti pemerintah. Juga apa yang lebih melucukan ialah apabila teringat pengalaman yang dilalui oleh saya ketika menghadapi proses pemilihan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat yang berlangsung pada akhir tahun lalu - Pemilihan 2010.

Satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan apabila banyak kepincangan berlaku tetapi hanya dianggap sebagai kelemahan Pemilihan 2010. Baiklah, sebagai langkah pertama memperkenalkan 'satu ahli satu undi' oleh sebuah parti yang paling muda dalam arena politik tanahair pastinya banyak kelemahan yang sukar dielakkan dan boleh diperbaiki dalam pemilihan akan datang. Namun malangnya kepincangan yang berlaku itu turut menjurus kepada penipuan untuk memenangkan kumpulan 'wahyu' dalam chai salah seorang calon timbalan presiden.

Subjek penipuan ini tidak mahu saya sentuh setelah beberapa entri sebelum ini cukup banyak mengutarakan betapa keadilan itu dituntut dalam parti Keadilan. JPP sebagai badan bertanggungjawab menutup tirai Pemilihan 2010 dengan pahat yang masih kuat berbunyi.

Salah seorang calon bagi jawatan Ketua AMK telah bertindak tidak mengiktiraf keputusan Pemilihan 2010 dengan dikepil bersama 7 muka surat aduan penyelewengan dan juga menyediakan beberapa saksi untuk disoal-siasat. Walaupun dijanjikan akan siasat dalam masa 2 minggu oleh Setiausaha Agung parti, namun setelah masuk 4 bulan janji SUA masih tidak dilangsai. Orang melayu selalu mengatakan hanya lembu yang berpegang pada tali, bukan janji manakala orang cina pula akan kata - Ini kita panggil langsi punya janji loh.

Cukuplah jika saya katakan, setiap aduan terhadap penyelewengan itu harus diambil tindakkan sewajarnya oleh PKR melalui JPP sepertimana berita yang tertera di atas, Keadilan mendesak SPR agar segera menyiasat segala aduan mengenai imbuhan terhadap pengundi atau lebih tepat membeli undi melalui perbelanjaan ratusan juta ringgit.

Kesimpulannya, PKR mendesak SPR supaya menyiasat aduan di pilihanraya. Di satu sudut lain pula dapat kita lihat anak muda bernama Chegubard sebagai calon bertanding dan pengadu kepada aduan lengkapnya mendesak agar PKR atau JPP menyiasat aduan terhadap kepincangan dan penipuan dalam Pemilihan 2010. Apa bezanya di antara dua situasi ini?

Sebab itu sebaik sahaja membaca berita dari twitter Keadilandaily.com pagi tadi, saya terus membalas satu tweet yang berbunyi;
@edyesdotcom : PKR desak SPR utk siasat aduan beli undi! Padahal @ jg byk kali desak JPP siasat aduan tp lgsung x dilayan!! SPR dan JPP sama saja?
Banyak reply yang saya terima dari tweet di atas dan salah satu di antaranya mengatakan PKR dan UMNO adalah sama sahaja malah PKR lebih teruk apabila menipu ahlinya. Hanya dalam tajuk Pemilihan 2010 sahaja saya bersetuju tetapi atas tajuk lain seperti merompak harta rakyat, itu tidak pernah saya setuju akan persamaan PKR dan UMNO.

UMNO adalah sebuah pertubuhan yang memperjuangkan bangsa, dan bukan bangsa cina yang diperjuang oleh UMNO walaupun kita melihat negara ini ekonominya dikuasai oleh orang cina. UMNO memperjuangkan bangsa melayu, itulah yang mereka katakan sejak dulu, kini dan selamanya walaupun sekali sekala mereka katakan memperjuangkan Islam disebalik meluluskan judi sukan.

Cuba anda fikir baik-baik, apakah dengan memperjuangkan bangsa melayu sebagai pemerintah ulung sejak kemerdekaan itu, berjaya menjadikan melayu hebat?

UMNO memperjuangkan melayu ketika UMNO menjadi parti melayu tunggal yang memerintah Malaysia selama 54 tahun, bukan sebagai pembangkang tetapi sebagai peneraju. Jangan kita perkecilkan kemampuan UMNO kerana statistik menunjukkan melayu menjadi juara dalam beberapa aspek. Di antara aspek yang menjadikan melayu hebat ialah, melayu menjadi juara di penjara, juga memiliki majoriti lebih dua pertiga dalam pusat serenti dan pusat pemulihan akhlak. Melayu juga menjadi pendominasi utama kepada aktiviti mat rempit. Serta statistik yang baru diterima sebentar tadi dalam siri 360 TV3 menunjukkan setiap 17 minit akan ada kes wanita hamil anak luar nikah yang kebanyakkannya pesertanya ialah berbangsa melayu.

Dari segi ekonomi melayu pula, siapakah yang menggelapkan saham bumiputra? Siapakah yang menyusutkan lebih separuh rezab tanah melayu? Siapakah yang sentiasa mengamalkan rasuah, sistem orang tengah dan sistem ali baba? Siapakah yang menyerahkan Singapura dan seterusnya mengadai Tanjung Pagar? Siapakah yang berbelanja besar di luar negara di sebalik menaikkan harga minyak dalam negara ketika harga minyak yang tinggi itu sebenarnya menguntungkan negara? Siapa lagi kalau bukan parti UMNO!

Parti UMNO melalui Presidennya yang automatis menjadi Perdana Menteri Malaysia juga telah tergamak mencuaikan diri apabila ditipu oleh beberapa presiden MCA. Tun Leong Sik berjaya menipu kerajaan Malaysia di bawah kehebatan Mahathir, Chan Kong Choi juga menipu Paklah ketika Paklah lena tidur dan akhir sekali Najib juga ditipu oleh Presiden terbaru dan terlampau dari MCA iaitu Soi Lek.

Jadi adakah anda rasa sebuah parti perjuangan bangsa itu benar-benar memberi pulangan yang baik kepada bangsanya sendiri walaupun menjadi pemerintah sejak kemerdekaan? Justeru itu, mengapa harus memilih untuk mendekati UMNO? Tidak dapat dipastikan samada PAS pula yang tergamak untuk menjalin hubungan dengan pencadang Malaysia sebagai hub hiburan asia.

Atas sebab-sebab di atas, ternyata PKR jauh berjuta batu lebih baik daripada sebuah parti perjuangan bangsa. Parti PKR yang merentasi semua bangsa adalah kenderaan terbaik untuk menerajui Putrajaya kerana telah terbukti peneraju Putrajaya dari parti perjuangan bangsa adalah gagal terhadap bangsanya sendiri!

Kerana itu juga, pendesak kepada kepincangan Pemilihan 2010 bersungguh-sungguh untuk memastikan rejim yang bakal tumbang dalam PRU13 kelak tidak diganti oleh sebuah lagi rejim, tetapi menjanjikan sebuah kerajaan yang lengkap-melengkapi menjadikan kerajaan itu milik rakyat melalui gugusan Pakatan Rakyat!

Janganlah sembarangan menuduh pendesak kepada kepincangan itu sebagai pengkhianat atau sebagainya. Chegubard tidak sekali-kali menyerang parti, apa lagi membenci parti dan kepimpinannya. Apa yang dilawan oleh Chegubard ialah penipuan dan penyelewengan dalam Pemilihan 2010, dan sentiasa mendesak agar haknya sebagai pengadu diberi perhatian. Sebagai pengadu yang mempunyai saksi, Chegubard belum lagi dipanggil untuk siasatan ke atas aduannya.

Setakat yang dimaklumi, program-program yang diatur oleh Chegubard melalui SAMM kini terdedah kepada beberapa sabotaj termasuklah dilagakan dengan ANAK oleh AMK Johor ketika pilihanraya kecil Tenang Januari lalu dan berlaku di P.Pinang di mana penganjur program yang menjemput Chegubard sebagai penceramah telah dinotiskan supaya tidak memberi laluan kepada Chegubard. Percayalah sebagai pejuang yang bersedia mati di gelanggang, Chegubard akan lebih hebat apabila ditekan, sepertimana Anwar Ibrahim yang menjadi hebat bila ditekan oleh sebuah kerajaan zalim.

Berikut adalah kata-kata Chegubard ketika menolak jawatan Timbalan SUA, dan anda nilaikanlah keikhlasan seorang pejuang anak muda melalui kata-kata ini;
Saya sayang parti ini dan kerana sayangkan parti inilah saya tegur, saya sayangkan negara ini dan kerana sayangkan negara inilah saya ingin pastikan KEADILAN menjadi sesempurna mungkin sebelum memasuki Putrajaya. - che'GuBard
Akhir kalam, kepada pembaca yang telah membaca artikel setakat ini, harus tersemat dalam jiwa itu bahawa UMNO tidak lagi releven selamanya dan tidak mustahil juga PKR menjadi tidak relevan suatu hari nanti jika pendesak dikatakan pengkhianat parti. Sebagai anak muda, perubahan itu harus didesak dan bukan ditunggu.

Kita rakyat Malaysia bukan hanya perlukan reformasi untuk perubahan terbaik buat rakyat hari ini, tetapi kita perlukan satu revolusi. Anak muda harus menjadi pelopor kepada revolusi! Saya menyeru kepada semua anak muda supaya bangkit menyahut cabaran yang bakal dilontar SAMM bersama pejuang anak muda kita iaitu Chegubard.

Anak muda yang bersiap siaga untuk menumbangkan mana-mana kerajaan zalim, mana-mana ketidakadilan, adalah sebahagian dari SAMM!! Nantikan pelancarannya kelak !


Court oF Public Opinion

No comments:

Post a Comment