Sunday, May 17, 2009

Zambry hanya layak diumpamakan dengan 'Mugabe'

TASEK GELUGOR - Menteri Besar 'haram' Perak, Dato' Dr Zambry Abdul Kader tidak layak disebut sebagai tokoh India, Mahatma Gandhi atau Afrika Selatan, Nelson Mandella tetapi lebih mirip kepada tokoh zalim pemimpin Zimbabwe, Robert Mugabe kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Haji Ahmad.

Jelas beliau, kenyataan Dr Zambry baru-baru ini bahawa beliau umpama Gandhi atau Mandella yang sanggup berjuang demi rakyat amat memalukan kerana perjalanan politiknya berlainan dengan apa yang dilalui oleh kedua-dua tokoh tersebut.

"Malu sungguh bila Dr Zambry mengakui dirinya bagaikan Gandhi atau Mandella kononnya perjuangannya mendapatkan hak sebagai Menteri Besar Perak untuk memperjuangkan nasib rakyat, " tambah beliau.

Katanya lagi, senario politik terutamanya bagaimana beliau mendapatkan kuasa amat menjijikkan kerana menerusi rampasan kuasa yang tidak bertamadun langsung.

Ustaz Idris mengulangi pandangannya, hanya satu jalan sahaja untuk menyelesaikan krisis di Perak iaitu memberikan mandat kepada rakyat bahawa kerajaan manakah yang mereka suka antara Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat.

Sekarang ini sambungnya, kemelut di Perak sudah hancur dan memerlukan satu tindakan pantas demi menyelamatkan keadaan yang ada kerana menegakkan benang basah oleh BN menerusi mahkamah akan berpanjangan dan sukar untuk diatasi.

"Dari kes rampasan kuasa yang tidak beradab dilakukan oleh Dato' Seri Najib Tun Razak sampailah sekarang isu berkenaan tidak selesai. Melainkan satu pilihan raya seluruh Perak diadakan segera jika tidak semakin lama makin hancur dibuatnya, " ujarnya dalam ceramah khas penerangan isu Perak di Pusat Pendidikan Islam Padang Menora, Tasek Gelugor baru-baru ini.

Jesteru itu, baginda Sultan Perak wajar memperkenankan untuk diadakan pilihanraya seluruh Perak kerana kelewatan mengembalikan hak rakyat akan mengundang padah tambahan lagi ekonomi negara makin merosot.

Bila pelabur tidak lagi ke Perak katanya, rakyat yang akan menerima kesan apabila penutupan kilang akan berlaku, harga barangan boleh meningkat dan suasana masyarakat jadi kelam kabut.

"Bayangkan apa akan terjadi bila suasana negeri Perak kacau-bilau semua akan terhenti terutamanya pelabur akan lari ke negara lain. Sebenarnya bila krisis memuncak di Perak bukan sahaja Perak akan rugi malahan Malaysia turun menerima padah, " jelas beliau.

Turut berceramah sama dalam program anjuran PAS Cawangan Padang Menora itu ialah tokoh pendakwah Kedah, Ustaz Idrus Ahmad dan Naib Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Zakaria Hamzah.

Haji Hadi menang tanpa bertanding

Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang mengekalkan jawatan presiden PAS tanpa bertanding, manakala lima orang dicalonkan untuk bertanding timbalan presiden dan 16 lagi untuk jawatan naib presiden.

Manakala 86 orang lagi dicalonkan untuk bertanding jawatan ahli jawatankuasa pusat PAS.

Dan jumlah ini, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Datuk Mustafa Ali adalah yang teramai dalam sejarah pemilihan parti itu.

Abdul Hadi mengekalkan jawatannya selepas menerima pencalonan 136 daripada 137 PAS kawasan.

Satu lagi kawasan - Bukit Bintang di Wilayah Persekutuan - mencalonkan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk bertanding presiden.

Untuk layak bertanding bagi semua jawatan parti, setiap calon perlu mendapatkan sekurang-kurangnya dua pencalonan.

Bagi jawatan timbalan presiden, lima orang yang dicalonkan termasuklah penyandangnya, Nasharuddin Mat Isa.

Calon timbalan

Empat lagi yang dicalonkan untuk jawatan timbalan presiden ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Harun Din; Naib-naib presiden - Datuk Husam Musa dan Mohammad Sabu.

Nasharuddin, Abdul Razak, Dr Harun turut dicalonkan untuk bertanding jawatan naib presiden, bersama-sama tiga lagi penyandangnya, Husam, Mohd Sabu dan Ahmad Awang.

Pertandingan adalah untuk merebut jawatan naib presiden dalam pemilihan PAS bulan depan. Sepuluh lagi calon naib presiden ialah:

1. Datuk Hasan Ali (Pesuruhjaya PAS Selangor, exco kerajaan Selangor)
2. Idris Ahmad (ahli jawatankuasa pusat PAS, dan ahli Parlimen Tumpat)
3. Datuk Kamaruddin Jaffar (Setiausaha agung PAS)
4. Datuk Mahfuz Omar (Ketua penerangan dan MP Pokok Sena)
5. Nik Mohd Amar Nik Abdullah (exco kerajaan negeri Kelantan)
6. Mujahid Yusof Rawa (MP Parit Buntar).
7. Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin (Menteri Besar Pakatan Perak)
8. Salahuddin Ayub (MP Kubang Krian)
9. Taib Azamuddin (MP Baling)
10. Datuk Ibrahim Tuan Man

Pertandingan bagi jawatan AJK pusat adalah untuk 18 kerusi, manakala enam lagi kerusi AJK dilantik oleh parti.

Menurut Mustafa, surat tawaran akan dihantar kepada semua calon untuk mendapatkan pengesahan mereka bertanding.

Pencalonan bagi jawatan utama parti ditutup pada 8 Mei lalu, manakala pencalonan bagi jawatan utama Dewan Pemuda dan Muslimat PAS adalah pada 17 Mei ini.

Senarai muktamad 26 Mei

Menurut Mustafa, senarai calon muktamad yang akan bertanding bagi jawatan utama parti, termasuk Pemuda dan Muslimat akan diumumkan pada 26 Mei depan.

Katanya, PAS mempunyai 176 kawasan di seluruh negara dan 137 daripadanya menghantar pencalonan bagi jawatan utama utama.

Tambahnya, 1,000 hingga 1,100 perwakilan akan menghadiri muktamar parti itu awal bulan depan. Beliau bagaimanapun enggan menyatakan peratusan pencalonan bagi calon-calon terbabit.

Dalam sidang media yang sama, Mustafa turut menegur laporan Utusan Malaysia yang menyiarkan berita yang menyatakan Nasarudin Mat Isa mendapat 60 peratus pencalonan.

"Dapat mana ni?... Dan dalam berita yang sama ada dihubungkait secara tidak langsung sidang media saya di Kuala Terengganu di mana saya tak pernah sebut perkara ini...ia boleh mengelirukan orang.

"Saya pun dihubungi oleh banyak pihak termasuk pemimpin PAS, apakah jawatankuasa ini dah dedahkan dia punya (pencalonan)... jadi integriti saya tu tak berapa baguslah.

"Kita tak pernah dedah siapa yang dapat banyak pencalonan. Tidak pernah.

"Berita itu tak betul. Tak pernah daripada jawatankuasa ini menyiarkan siapa yang dapat berapa peratus calon atau berapa banyak pencalonan."(Cuma) yang kita beritahu dekat calon sendiri, berapa pencalonan yang dia dapat. Kita beritahu," kata Mustafa.

Mengulas mengenai dakwaan terdapat pemimpin parti itu cuba mempengaruhi perwakilan melalui penganjuran jamuan dan pemberian baju, Mustafa berkata, beliau tidak menerima apa-apa laporan berhubung perkara tersebut.

"Saya tidak menerima laporan sebab saya yakin perkara ini tidak berlaku. Saya tidak risau sebab perkara ini saya yakin tidak berlaku," katanya.

Menjawab soalan berhubung Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM akan menyiasat berhubung perkara tersebut, Mustafa berkata: "Tidak berbangkit sebab saya sendiri tidak terima laporan apa-apa," katanya.

Senarai penuh calon yang layak bertanding pada Muktamar PAS, Jun ini klik disini.

Saturday, May 16, 2009

Kini terserah pada Sultan

Tekanan umum semakin memuncak supaya Sultan Perak, Sultan Azlan Shah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dan mengadakan pilihanraya baru untuk menyelesaikan kemelut politik di negeri itu, yang sudah berlarutan selama tiga bulan.

Dua hari lalu, gabungan 50 NGO di Perak telah membuat rayuan terbuka kepada baginda supaya menggunakan kuasa perlembagaan baginda untuk membubarkan DUN bagi mendapatkan mandat baru dari rakyat untuk menentukan kerajaan negeri pilihan mereka.

Gabungan NGO tersebut - yang menegaskan bahawa mereka tidak menyokong BN ataupun Pakatan Rakyat - berkata apa yang penting ialah kebajikan rakyat Perak.

Menurut gabungan tersebut, mereka mahu menyuburkan semula demokrasi sebenar di negeri Perak.

Malam tadi, Muslimat PAS Perak juga membuat rayuan yang sama kepada baginda sultan supaya campurtangan bagi menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.

Ketuanya, Bariah Alang Sapri memberitahu Malaysiakini, ia kerana baginda bukan sahaja bijaksana tetapi juga merupakan bekas ketua hakim negara yang pernah membuat penghakiman dalam kes-kes terpenting.

Dengan itu, katanya, rakyat boleh kembali meneruskan kehidupan mereka dan bukannya terus berdepan dengan ketegangan dan kemelut politik yang telah berlarutan sejak Februari lalu.

Bariah juga menuduh BN menyalahgunakan kuasa eksekutif, perundangan dan kehakiman untuk mencapai matlamat politiknya untuk kekal mentadbir Perak.

Katanya, Sultan Perak merupakan harapan terakhir rakyat untuk mengembalikan kestabilan politik di Perak kerana pihaknya telah hilang harapan bahawa BN akan mengadakan pilihanraya baru.

Tuesday, May 12, 2009

Suhakam, Ku Li setuju pilihanraya semula di Perak

Pemimpin berpengalaman Umno menyokong tindakan menteri besar Pakatan Rakyat di Perak mengusulkan kepada istana agar membubarkan DUN bagi mengatasi kemelut politik sejak Februari.

Mengulas keputusan mahkamah memberi semula jawatan menteri besar kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Tengku Razaleigh Hamzah berkata pembubaran "satu-satunya cara" keluar daripada krisis tersebut.

"Kita berharap Sultan memperkenan untuk membubarkan DUN. Ia bukan sahaja tindakan sewajarnya, tetapi satu-satunya cara keluar daripada krisis yang membelit Perak, merosakkan keluhuran undang-undang, mencalarkan badan kehakiman, polis dan perkhidmatan awam negeri, dan mencemarkan sistem beraja di mata umum," kata bekas naib presiden Umno itu di blognya.

Di awal krisis ini, Tengku Razaleigh telah mempertikaikan tindakan rampasan kuasa BN, termasuk menggugurkan jawatan Mohammad Nizar, dengan menyifatkannya di luar proses perlembagaan.

Beliau juga telah mencadangkan pilihanraya negeri diadakan atau rakyat akan semakin meluat pada Umno.

Dalam tulisan terbarunya, bekas pemimpin Parti Melayu Semangat 46 berkata kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Zambry Abd Kadir lebih kurang tiga bulan "selama ini haram dan semua keputusan serta kontrak yang dibuat olehnya tanpa asas perundangan."

Tambahnya, persidangan DUN Perak minggu lepas yang membawa usul Zambry menggantikan Speaker, V Sivakumar dengan R Ganesan, pemimpin kanan MIC negeri dan bekas ADUN Sungai, juga tidak sah.

"Sultan, dan sistem beraja itu sendiri, menanggung malu dengan babak (politik) ini, termasuk usaha terancang oleh sesetengah pihak untuk menyemarakkan lagi isu menjadi perkauman dan penderhakaan.

"Tindakan seumpama ini hanya merosakkan lagi institusi yang mereka dakwa cuba mempertahankannya, dan (susulan itu) ia mencemarkan Umno dan BN," katanya.

"Isu sebenarnya adalah perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, dan sistem beraja dilindungi selagi mendukung keunggulan perlembagaan dan hasrat rakyat."

Mengulas perkembangan sama, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) juga menggesa pembubaran DUN dan seterusnya pilihanraya untuk menyelesaikan kemelut politik Perak.

"Mungkin sudah tiba masanya untuk rakyat di Perak diberikan peluang untuk menggunakan hak mereka sekali lagi untuk memilih kerajaan pilihannya, iaitu hak asasi manusia," kata pengerusinya Tan Sri Abu Talib Osman (gambar).

Hanya sebuah kerajaan yang stabil akan mampu memastikan hak untuk keamanan dan pembangunan, tambahnya dalam satu kenyataan hari ini.

"Berdasarkan perkembangan yang berlaku berikutan pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai menteri besar, insiden pada persidangan DUN Perak pada 7 Mei dan keputusan mahkamah yang
mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar yang sah, adalah sangat sukar isu Perak akan ditangani melainkan kuasa itu diberikan semula kepada rakyat," katanya.

"Tindakan mahkamah tidak semestinya menyelesaikan keadaan politik di Perak."

Hakim: Nizar MB Perak yang sah

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar sah Perak setelah digugurkan jawatan tersebut, awal Februari lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Datuk Abdul Aziz Abd Rahim memutuskan bahawa Nizar tidak mengosongkan jawatannya itu kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN.

Dalam kes ini, Abdul Aziz berkata tiada undi tidak percaya telah diusulkan terhadap Nizar, lapor Bernama.

"Bagaimana seseorang boleh mengatakan yang pemohon (Nizar) telah hilang kepercayaan majoriti mengikut Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak?"

"Berdasarkan amalan demokrasi, isu kehilangan kepercayaan majoriti hanya boleh diambil kira melalui undi tidak percaya terhadap pemohon (Nizar), hanya melalui cara ini menteri besar boleh disingkirkan," Abdul Aziz dipetik berkata dalam penghakiman bertulis yang disampaikannya pada 2.30 petang.

Pada 13 Februari lalu, Nizar memfailkan permohonan kepada mahkamah bagi diisytiharkan bahawa beliau pada sepanjang masa adalah menteri besar Perak yang sah, bukannya Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Nizar, yang dilantik sebagai menteri besar pada 17 Mac tahun lepas, juga memohon pengisytiharan bahawa Zambry tidak berhak untuk memegang jawatan tersebut.

Abdul Aziz, dalam penghakimannya berkata seorang menteri besar tidak boleh dipecat oleh Sultan Perak atas alasan beliau tidak boleh memegang jawatan itu tanpa perkenan sultan.

Pemecatan menteri besar oleh Sultan Perak tidak disokong oleh Perkara 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, katanya.

Hakim berkata walaupun Sultan Perak mempunyai kuasa mutlak melantik menteri besar, bagaimanapun seseorang menteri besar, sebaik dilantik, hanya bertanggungjawab kepada ADUN dan tidak kepada pihak-pihak lain, lapor agensi berita itu lagi.

Dalam penghakimannya juga, Abdul Aziz - hakim ketiga di Mahkamah Tinggi yang mendengar kes itu - tidak bersetuju dengan hujahan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, selaku pencelah, bahawa hanya dalam dua keadaan yang membolehkan menteri besar boleh memohon bagi pembubaran DUN.

"Peguam negara berhujah bahawa menteri besar hanya boleh memohon bagi pembubaran apabila tempoh penggal dewan telah hampir tamat, iaitu di bawah Perkara 36(2) dan satu lagi apabila beliau berhenti mendapat kuasa daripada majoriti.

"Saya tidak bersetuju dengan perkara ini. Mengikut Perkara 36 Undang-undang Tubuh Negeri Perak, tiada keadaan yang terhad bagi menteri besar untuk memohon pembubaran daripada sultan, dan terserah kepada menteri besar untuk memilih masanya (untuk memohon bagi pembubaran)," kata Abdul Aziz seperti dilaporkan.

Hakim juga tidak bersetuju dengan hujahan peguam negara dan Zambry sebelum ini bahawa Nizar dianggap telah meletakkan jawatan sebagai menteri besar walaupun beliau (Nizar) enggan berbuat demikian.

"Peguam negara dan responden berhujah bahawa perkataan 'akan meletak jawatan' dalam Perkara 16(6) berupa mandatori bahawa menteri besar mesti meletak jawatan.

"Bagaimana jika menteri besar enggan meletakkan jawatan? Walaupun ia mandatori, peruntukan itu tidak boleh ditafsirkan sebagai bermaksud bahawa menteri besar dianggap telah meletakkan jawatan," Abdul Aziz dilaporkan berkata lagi

Beliau juga mencadangkan perkara itu dipinda bagi mengatasi kelemahan dalam Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Mengenai isu afidavit penasihat undang-undang Perak Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, Abdul Aziz memutuskan beliau bukan saksi yang berkecuali dan adil.

"Ia merupakan pengakuannya sendiri bahawa beliau telah diarahkan oleh peguam responden untuk mengikrarkan afidavit itu. Perkataan yang digunakan amat keras.

"Bagi saya beliau bukan saksi yang berkecuali dan adil, keterangannya diwarnai dengan arahan yang diterimanya," kata Abdul Aziz yang memilih versi Nizar mengenai apa yang berlaku semasa menghadap Sultan Perak di Istana Kinta pada 4 Feb.

Hakim berkata beliau percaya dengan keterangan Nizar yang beliau tidak memohon perkenan Tuanku Sultan untuk membubarkan DUN kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti.

"Keadaan pada 4 Feb ialah Pakatan Rakyat dan BN masing-masing mempunyai 28 kerusi dalam Dewan.

"Keterangan pemohon bahawa semasa menghadap Sultan Azlan Shah, beliau telah memohon perkenan bagi membubarkan dewan mengikut Perkara 36(2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak adalah disebabkan wujud kebuntuan dalam dewan (apabila Pakatan Rakyat dan BN masing-masing mempunyai 28 kerusi), tetapi menafikan beliau telah kehilangan kepercayaan majoriti anggota dewan," katanya.

Krisis politik Perak bermula apabila dua ADUN PKR Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) meletakan jawatan masing-masing pada 30 Jan diikuti Hee Yit Foong (Jelapang) dari DAP, empat hari kemudian.

Berikutan itu, Nizar telah menghadap Sultan Azlan Shah pada 4 Feb untuk memohon bagi pembubaran DUN tetapi permohonan itu ditolak.

Menurut agensi berita itu lagi, Abdul Aziz mengulangi yang mahkamah tidak mempersoalkan keputusan Sultan Perak yang menolak permohonan itu kerana ia tidak berjustifikasi.

"Tidak diragui bahawa Duli Yang Maha Mulia mempunyai bidang kuasa mutlak untuk tidak memperkenankan permohonan bagi pembubaran," tegasnya.

Hakim itu turut mempersoalkan kenapa BN, selepas
mengisytiharkan yang ia mendapat kepercayaan majoriti, tidak memanggil Nizar ke persidangan khas dewan untuk membentangkan usul tidak percaya terhadap beliau, kerana adalah lebih demokrasi untuk berbuat demikian.

Selepas penyampaian penghakiman selama sejam itu, Datuk Cecil Abraham yang mewakili Dr Zambry, memohon penangguhan pelaksanaan keputusan itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan, tetapi ditolak oleh Abdul Aziz.

"Saya menolak permohonan lisan Datuk. Datuk boleh memfailkan permohonan rasmi bagi penangguhan, bersama-sama dengan kes dan autoriti, jika Datuk mahu meneruskannya," katanya.

Mahkamah sesak dengan lebih 50 wakil media dan anggota keluarga serta penyokong Nizar yang datang seawal 1.30 tengah hari.

Nizar diwakili peguam Sulaiman Abdullah dan 10 peguam lain manakala Dr Zambry, yang tidak hadir di mahkamah hari ini, diwakili Cecil dan Sunil Abraham.

Anwar sambut 'ranting zaitun' Najib

Datuk Seri Anwar Ibrahim harap perdana menteri jujur ingin menyelesaikan kemelut politik Perak dan tidak hanya bersandiwara setelah ia berlarutan lebih tiga bulan.

"Namun, janganlah pula kesediaan ini dikhianati, di saat ranting zaitun (isyarat perdamaian) dihulurkan, pisau belati tajam sudah siap menikam!

"Jikalau begitu sandiwara yang direncana, layak sahaja buah durian dibaling ke muka mereka yang menghulurkannya," kata ketua pembangkang di blognya hari ini.

Beliau mengulas kesediaan Datuk Seri Najib Razak menghulurkan kerjasama dengan Pakatan Rakyat mengatasi kemelut tersebut, tetapi ia tidak sampai ke tahap membentuk kerajaan campuran.

Kerjasama itu boleh diadakan dalam pelbagai bentuk termasuk melibatkan urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Perdana menteri memberikan reaksinya kepada kenyataan tokoh DAP Lim Kit Siang kelmarin yang sedia bekerjasama dengannya - cadangan pertemuan pemimpin BN dengan Pakatan Rakyat.

Ahli parlimen Ipoh Timur dilaporkan berkata, perkara itu perlu diberikan perhatian segera supaya kemelut terbabit tidak berpanjangan sehingga menjejaskan pentadbiran negeri.

Mengulas lanjut, Najib berkata, kemelut politik negeri itu tidak akan berlaku sekiranya semua pihak terutama pembangkang menghormati peraturan dan undang-undang negara.

Tambahnya, tindakan pembangkang yang "menegakkan benang basah" menyebabkan timbul kekecohan seperti yang berlaku dalam sidang DUN, Khamis lalu.

Anwar menambah, Pakatan Rakyat pasti menyambutnya dengan hati terbuka jika perlembagaan dan keluhuran undang-undang didaulatkan, termasuk menjamin kebebasan badan kehakiman.

"Sudah pasti saya bersetuju dengan anjuran agar kita kembali merujuk undang-undang dan keluhuran semangat keperlembagaan bagi menyelesaikan kemelut di Perak," katanya.

"Perlu diberi perhatian bila sahaja saranan kembali kepada kedaulatan undang-undang dikemukakan, sudah tentu rakyat mahu diyakinkan bahawa sistem kehakiman bebas daripada sebarang kongkongan politik penguasa, undang-undang kuku besi dimansuhkan dan tiada lagi sebarang gangguan terhadap mereka yang berbeda pendapat.

"Jika ini tidak dipenuhi kerjasama yang ditawarkan umpama mencurah air di daun keladi."

Mengulas kesediaan perdana menteri itu, Lim berkata ia sebagai reaksi "menyegarkan" yang datangnya daripada seorang pemimpin yang terlibat sendiri dalam krisis di Perak yang disifatkannya "masalah nasional dan antarabangsa bagi Malaysia."

Tambahnya, beliau akan membawa kesediaan tersebut kepada pemimpin Pakatan Rakyat dan akan memaklumkan perkara itu beberapa hari lagi.

Monday, May 11, 2009

Seminar ulama didakwa medan 'basuh minda' pro-muqabalah

Seminar kepimpinan ulama PAS telah mencetuskan desas-desus bahawa ia bakal menjadi medan "pembasuhan minda" bagi memenangkan calon aliran tertentu.

Program sehari pada 23 Mei ini - kurang dua minggu sebelum tarikh pemilihan jawatan tertinggi parti itu - berlangsung di Markaz Tarbiyah PAS di Gombak.

Beberapa pihak dalam PAS mendakwa program itu bakal dipergunakan oleh kumpulan pro-muqabalah dengan Umno untuk menaikkan calon-calon mereka yang menghadapi asakan sengit "kumpulan Erdogan" - yang cenderung kepada idea mengukuhkan Pakatan Rakyat.

Pembentang kertas kerja di seminar itu pula didakwa hanya melibatkan tokoh-tokoh utama beraliran pro-muqabalah seperti bekas ketua ulama PAS, Datuk Harun Taib dan bekas timbalan presiden, Hassan Shukri.

Nama-nama pembentang lain termasuklah Timbalan Mursydul Am PAS Datuk Haron Din, Pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Mustafa Ali, dan bekas timbalan ketua Pemuda PAS Idris Ahmad.

Malah, timbul tanda tanya apabila ketua dewan itu sendiri Datuk Mohamed Daud - yang dilihat lebih rapat dengan Mursyidul Am Datuk Nik Aziz Nik Mat - didakwa tidak terlibat membentangkan sebarang kertas.

Menteri besar itu kelihatan sering bergeser dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang menyampaikan ucapan penutup di seminar Sambutan Jubli Perak Kepimpinan Ulama PAS.

Nik Aziz sendiri hanya berucap di ceramah pada sebelah malam - selepas program tersebut - di tempat yang sama.

Berdasarkan surat jemputan bertarikh 16 April lalu, ketua Dewan Ulama itu hanya disenaraikan untuk membaca doa di akhir seminar tersebut.

Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS, Hashim Jasin, ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa seminar itu bakal dijadikan medan "pembasuhan minda" agar menyokong calon pro-muqabalah.

Menurutnya, dakwaan sedemikian hanya cakap-cakap di blog dan tidak menggambarkan situasi sebenar.

"Orang boleh buat pelbagai kenyataan, tetapi hakikat sebenarnya, seminar ini lama sudah (ditetapkan), bukan kerana hendak undi (perwakilan).

"Sudah lama dah (program ini) sepatutnya diadakan," katanya, sambil menyifatkan penetapan tarikh itu cuma "kebetulan".

"Idea ini sempena (ulang tahun) 25 tahun (kepimpinan ulama), walaupun sekarang sudah 27 (tahun), tetapi kira (sambutan) jubli perak jugalah. Biasalah, bukan kesemua perkara mesti dibuat pada tarikhnya. (Perkara) ini biasalah mana-mana pun."

Menurut Hashim, bagi memfokuskan kepada pilihanraya umum dan beberapa pilihanraya kecil, program kerjasama tiga sayap penting PAS - Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat - terpaksa ditangguhkan sebelum ini.

Ditanya sama ada program itu diadakan bagi tujuan berkempen jawatan tertinggi dalam parti, pesuruhjaya PAS Perlis itu menjawab:

"Itu orang hendak cakap, kita tidak boleh halang. Tetapi yang sebenarnya, yang saya hendak kata, walau panas macam mana pun pergolakan yang berlaku ini, apabila keputusan dibuat, kita tidak ada apa-apa (masalah)."

Walaupun kehadiran di program diwajibkan, Hashim berkata, pemimpin PAS yang terlibat mengiringi calon PKR Mansor Othman dalam pilihanraya kecil DUN Penanti di Pulau Pinang boleh diberikan pelepasan.

Mereka termasuklah Mohamad Sabu dan Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar yang terlibat dengan perarakan penamaan calon.

Hashim juga menafikan bahawa ketua Dewan Ulama tidak terlibat membuat sebarang pembentangan.

"Ada, dia ada (membuat perbentangan)," katanya ringkas.

Saturday, May 9, 2009

Nik Abduh gagal rebut jawatan ketua Pemuda PAS Kelantan

Anak Mursyidul Am PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz gagal merebut jawatan ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, dalam muktamar tahunannya di Kota Bharu hari ini.

Nik Abduh yang juga bekas Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS negeri tewas kepada ADUN Mengkebang, Abdul Latiff Abdul Rahman.

Dalam pertandingan satu lawan satu itu, Abdul Latiff mendapat 78 undi untuk menewaskan Nik Abduh yang mendapat 56 undi.

Jawatan itu kosong selepas penyandangnya, yang juga ADUN Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim tidak mempertahankannya kerana usia melepasi 40 tahun, lapor Bernama.

Dalam pengundian pemilihan itu hanya satu undi perwakilan rosak.

Nama Nik Abduh mulai menjadi bualan ramai kalangan pemerhati politik selepas beberapa akhbar memetik tulisan dalam blognya yang menyentuh isu kepimpinan ulama dalam PAS.

Sementara itu seorang peguam Hisham Fauzi dipilih sebagai naib ketua dewan tersebut.

Beliau mengalahkan dua calon lain, iaitu Zamsuri Mohamad dan penyandangnya, Dr Rusli Allani Abdul Kadir.

Dr Rusli Allani ialah pegawai khas exco kanan kerajaan negeri, Datuk Husam Musa.

Friday, May 8, 2009

Fairus dianiaya?

Ramai bertanya, jika Fairus benar-benar bersih sepertimana kata SPRM, mengapa pimpinan tertinggi PKR tidak mengembalikan semula jawatan TKM 1 dan ADUN Penanti kepadanya ? Bagi Fairus pula setelah yakin dirinya bersih, mengapa terus 'nekad' meletakkan jawatan ?

Hanya yang buta politik akan percaya, Fairus letak jawatan untuk menyambung pelajaran pasca siswazah.

Inilah persoalan yang dibangkitkan dalam media oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Dr Mujahid Yusof Rawa, bekas Ketua Dewan Pemuda PAS P.Pinang Mohd Hafiz Noordin dan Yang Dipertua PAS Permatang Pauh Omar Hassan yang juga Pengarah Pilihanraya PAS Pulau Pinang.

Persoalan dan kecelaruan ini membawa kepada tindakan PAS menuntut kerusi Penanti.

Ramai warga Penanti, majoritinya tahu sebab perletakan jawatannya kerana masalah prestasi kerja. Tidak lebih daripada itu. Tidak ramai yang tahu sebab sebenarnya. Dan sebab sebenar inilah yang disembunyi oleh pimpinan tertinggi parti. Malah ramai juga pimpinan tertinggi PKR yang tidak mengetahui duduk sebenar cerita Fairus.

Impaknya, tidak kurang yang percaya teori konspirasi yang dicipta Fairus, kononnya dia dianiayai dan dizalimi pihak dalaman parti.

Justeru itu, tidak hairanlah jika pimpinan PAS khususnya di Permatang Pauh, 'bangun' untuk membela anak muda yang baru menapak naik, yang kemudian direntap turun secara ganas, kononnya melalui taktik busuk dalaman PKR.

PAS merasa jijik dengan politik kotor PKR. Padahal, mereka tidak tahu, Fairus adalah anak kelahiran Umno yang merayau dalam PKR. Penyingkirannya adalah untuk membersihkan parti daripada gejala tidak sihat.

Namun, apabila Ketua Umum Anwar Ibrahim bermain tarik tali, berucap kepada petugas PKR, seolah-olah Fairus difitnah, maka segelintir khususnya golongan wanita bersimpati kepadanya.

Beberapa individu yang dijadikan kambing hitam oleh Fairus termasuk bekas pegawai khasnya, Zainal Abidin dan Zulkifli Mohamed menjadi sasaran kutukan, kononnya mereka ini menjadi dalang menjatuhkan Fairus.

Justeru itu, tidak hairanlah apabila perayu undi di kalangan muslimat PAS kini merungut, bagaimana hendak menyakinkan pengundi Penanti, selepas berhempas pulas membantu Fairus pada pilihan raya umum lalu.

"Apa lagi yang kami nak cakap, (dulu) kata Fairus boleh buat kerja, tiba-tiba letak jawatan sebab tidak berprestasi, jadi macam mana nak yakinkan pengundi (sekali lagi)?" tanya salah seorang Muslimat PAS.

dari blog : Alahai...Fairus

Komen Paku Seqepih;
Jika benar Fairus bagai dikata, Fairus ahli UMNO yang merayau dalam PKR bagaimana pula dengan pemimpin tertinggi PKR Pulau Pinang yang terang lagi bersuluh merupakan bekas pemimpin UMNO Pulau Pinang?

Menyertai PKR setelah Anwar dibebaskan, malah terus diangkat sebagai pemimpin di negeri ini. Kini membawa budaya UMNO di dalam PKR, meminggirkan orang lama dalam PKR sejak era Reformasi dan menaikkan kroni dalam perhubungan negeri. Golongan Reformis dimusuhi...

"Paku dulang, paku seqepih, kata kat oqang, kita yang lebih..."

Wednesday, May 6, 2009

PAS marah lagak Anwar dalam Pakatan

PAS marah dan kecewa dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak berunding dengan pemimpin parti itu dan DAP sebelum PKR mengumumkan kekosongan DUN Penanti, kata seorang pemimpin PAS Pulau Pinang.

PAS juga mendakwa mereka kesal dengan tindakan ketua pembangkang itu yang berlagak seperti "orang besar" dalam Pakatan Rakyat yang "tidak menghormati" pemimpin parti-parti lain.

"Beliau selalunya bercakap tentang (pentingnya) Pakatan Rakyat, (tetapi) contoh terbaru, isu Fairus letak jawatan (diputuskan) tanpa berbincang dengan DAP dan PAS pusat," kata pemimpin itu yang enggan dikenali.

"Tak berbincang. Dia buat macam orang besar dalam Pakatan. Tak hormat (rakan Pakatan yang lain)."

Menurut sumber itu, tindakan sebelah pihak Anwar itu boleh menggugat kesatuan gabungan pembangkang di Pulau Pinang kerana memaksa PAS dan DAP "mengikut caranya."

"Pakatan Rakyat tidak boleh pergi (bertahan) lama kalau bergantung ikut cara dia, ikut kehendak dia," katanya.

Tindakan penasihat PKR yang tidak berbincang tentang peletakan Mohamad Fairus tanpa memikirkan kesan kepada Pakatan khususnya menyebabkan akar umbi kecewa dengan situasi tersebut.

"Pengundi dan ahli akar umbi PAS dan PKR kecewa," katanya.

Tambah sumber, beliau dimaklumkan kemungkinan penyokong PAS dan PKR di Penanti tidak akan keluar mengundi sekiranya PKR meletakkan calonnya Mansor Othman dalam pilihanraya kecil itu, 31 Mei ini.

Berdasarkan maklum balas akar umbi parti itu, pemimpin tersebut berasa bimbang dengan situasi itu, kemungkinan calon Pakatan Rakyat kalah.

Beliau juga mendengar rungutan daripada perayu-perayu undi di kalangan Dewan Muslimat yang menghadapi masalah untuk meyakinkan pengundi setelah menguar-uarkan Mohamad Fairus – calon muka baru – boleh berkhidmat untuk mereka dalam pilihanraya umum tahun lalu.

"(Muslimat memberitahunya:) Apa lagi yang kami nak cakap, (dulu) kata Fairus boleh buat kerja, tiba-tiba letak jawatan sebab tidak berprestasi, jadi macam nak yakinkan pengundi (sekali lagi)?" katanya.

Kemarahan mereka itu diterjemahkan antaranya dengan kenyataan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang minta isu pengunduran Mohammad Fairus Khairuddin ditanyakan sendiri kepada Anwar, kata sumber lagi.

Selain kelambatan Anwar mengumumkan pengganti jawatan timbalan satu ketua menteri yang ditinggalkan Mohammad Fairus, pemimpin DAP itu juga tidak senang apabila tidak dimaklumkan tentang langkah mengosongkan jawatan tersebut.

Susulan itu, dalam mesyuarat agung kawasannya, PAS Permatang Pauh sebulat suara meminta pucuk pimpinannya meletakkan calon dalam pilihanraya kecil itu.

Ketua Pemuda PAS negeri waktu itu Mohamed Hafiz Nordin kemudian turut membuat desakan yang sama. Desakan itu disusuli dengan kenyataan Timbalan Pesuruhjaya PAS Mujahid Yusof Rawa.


Muktamar Dewan Pemuda Pulau Pinang, Ahad lalu, turut memutuskan sebulat suara daripada kira-kira 100 perwakilan agar PAS meletakkan calon dalam pilihanraya kecil tersebut.

"Perhubungan (PAS) negeri pun berpandangan yang sama," kata sumber.