Tuesday, May 12, 2009

Anwar sambut 'ranting zaitun' Najib

Datuk Seri Anwar Ibrahim harap perdana menteri jujur ingin menyelesaikan kemelut politik Perak dan tidak hanya bersandiwara setelah ia berlarutan lebih tiga bulan.

"Namun, janganlah pula kesediaan ini dikhianati, di saat ranting zaitun (isyarat perdamaian) dihulurkan, pisau belati tajam sudah siap menikam!

"Jikalau begitu sandiwara yang direncana, layak sahaja buah durian dibaling ke muka mereka yang menghulurkannya," kata ketua pembangkang di blognya hari ini.

Beliau mengulas kesediaan Datuk Seri Najib Razak menghulurkan kerjasama dengan Pakatan Rakyat mengatasi kemelut tersebut, tetapi ia tidak sampai ke tahap membentuk kerajaan campuran.

Kerjasama itu boleh diadakan dalam pelbagai bentuk termasuk melibatkan urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Perdana menteri memberikan reaksinya kepada kenyataan tokoh DAP Lim Kit Siang kelmarin yang sedia bekerjasama dengannya - cadangan pertemuan pemimpin BN dengan Pakatan Rakyat.

Ahli parlimen Ipoh Timur dilaporkan berkata, perkara itu perlu diberikan perhatian segera supaya kemelut terbabit tidak berpanjangan sehingga menjejaskan pentadbiran negeri.

Mengulas lanjut, Najib berkata, kemelut politik negeri itu tidak akan berlaku sekiranya semua pihak terutama pembangkang menghormati peraturan dan undang-undang negara.

Tambahnya, tindakan pembangkang yang "menegakkan benang basah" menyebabkan timbul kekecohan seperti yang berlaku dalam sidang DUN, Khamis lalu.

Anwar menambah, Pakatan Rakyat pasti menyambutnya dengan hati terbuka jika perlembagaan dan keluhuran undang-undang didaulatkan, termasuk menjamin kebebasan badan kehakiman.

"Sudah pasti saya bersetuju dengan anjuran agar kita kembali merujuk undang-undang dan keluhuran semangat keperlembagaan bagi menyelesaikan kemelut di Perak," katanya.

"Perlu diberi perhatian bila sahaja saranan kembali kepada kedaulatan undang-undang dikemukakan, sudah tentu rakyat mahu diyakinkan bahawa sistem kehakiman bebas daripada sebarang kongkongan politik penguasa, undang-undang kuku besi dimansuhkan dan tiada lagi sebarang gangguan terhadap mereka yang berbeda pendapat.

"Jika ini tidak dipenuhi kerjasama yang ditawarkan umpama mencurah air di daun keladi."

Mengulas kesediaan perdana menteri itu, Lim berkata ia sebagai reaksi "menyegarkan" yang datangnya daripada seorang pemimpin yang terlibat sendiri dalam krisis di Perak yang disifatkannya "masalah nasional dan antarabangsa bagi Malaysia."

Tambahnya, beliau akan membawa kesediaan tersebut kepada pemimpin Pakatan Rakyat dan akan memaklumkan perkara itu beberapa hari lagi.

No comments:

Post a Comment