Thursday, June 11, 2009

Johari Kassim dipecat!

Kerajaan Negeri Pulau Pinang memutuskan memecat Ketua Wip MPSP dari PKR Johari Kassim sebagai ahli majlis berhubung salahlakunya yang mengetuai lapan dari sembilan ahli majlis dari PKR yang memboikot majlis angkat sumpah perlantikan Yang Dipertua MPSP, minggu lalu.

Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu, semalam, bagaimanapun ditangguhkan sehingga Rabu depan, bagi membolehkan Timbalan Ketua Menteri 1 Mansor Othman yang mewakili Exco PKR, mencari jalan penyelesaian terbaik menamatkan kemelut itu.

Difahamkan penangguhan itu diminta oleh para exco PKR termasuk Law Choo Kiang dan Abdul Malik Kassim.

Ketua Menteri Lim Guan Eng yang mempengerusi mesyuarat, semalam, dikatakan mahu PKR mengambil tindakan tegas terhadap Johari yang telah mencemarkan imej kerajaan negeri.

Tindakan Johari minggu lalu, dilihat bukan sahaja mencemarkan imej kerajaan negeri, bahkan turut mencalarkan kredibiliti Lim Guan Eng dan Mansor yang mengumumkan perlantikan Mokhtar Mohd Jait sebagai YDP MPSP.

Mokhtar menggantikan Farizan Darus yang dilantik sebagai Pengarah Kewangan Negeri.

Johari membantah perlantikan Mokhtar, bekas Pegawai Daerah Seberang Perai Utara, dengan alasan jawatan berkenaan sepatutnya diisi dari kalangan pemimpin PKR.

Beliau mendakwa keputusan berkenaan telah diputuskan dalam mesyuarat perhubungan negeri PKR, dan perkara tersebut dipersetujui oleh pemimpin Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

Johari juga mendakwa Ketua Menteri tidak pernah berbincang dengan PKR dan PAS berhubung perlantikan YDP MPSP.

Pengerusi DAP negeri Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas negeri berkata, "Soal pelantikan Mokhtar Jait sebagai YDP MPSP tidak pernah dirujuk kepada PKR tidak timbul kerana ia pelantikan daripada kalangan pegawai pentadbiran."

PR Pulau Pinang katanya tidak pernah memutuskan jawatan itu diserahkan kepada PKR.

Menurut Chow lagi, cadangan pelantikan Mokhtar sebagai YDP dibentang pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Rabu lalu dan diterima sebulat suara.

"Exco daripada PKR yang terdiri daripada Timbalan Ketua Menteri 1 Mansor Othman, Abdul Malik Kassim dan Law Choo Kiang adalah sebahagian daripada ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang menyokong pelantikan itu," katanya.

MPSP mempunyai 24 anggota majlis dan daripada jumlah itu, 10 diwakili pemimpin DAP, sembilan PKR, dua Pas dan tiga daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sebelum ini, akhbar melaporkan Johari bertindak demikian kerana mengidam jawatan YDP.

Sumber : Alahaifairus..

No comments:

Post a Comment