Friday, August 14, 2009

Surat Kepada Presiden Pas, Naib Presiden Dan Bla...Bla... Lagi.

Datuk Seri,

Apabila angin ribut kuat di tengah laut, Datuk Seri tak terasa sejukkah ketika Datuk Seri sedang memancing jerung. Ketika badai melanda, Datuk Seri tak kecewakah apabila kail hanya lekat anak gelama tengkerong?

Arus politik di daratan barangkali lebih dari angin ribut di lautan. Datuk Seri baliklah cepat dan lihat di sebuah negeri ehsan mengehsan, yang kaya dengan pucuk batubata.

Memurut khabar, seperti yang saya pernah tulis berkali-kali, anak buah Datuk Seri ini gila dan ketagih sangat nak bercakap atau membuat kenyataan akhbar. Kononnya ‘press confren’. Hasilnya selalu jadi bola tanggung. Orang ‘kelepup’ kepala kita balik.

Apa yang terjadi di negeri ehsan mengehsan itu? Dalam sidang akhbar dan TV (kedua-duanya media tak sebulu dengan PAS) kononnya seorang yang bertaraf Pesuruhjaya tidak akan tunduk kepada ugutan rakan sepemerintahnya yang menggesa pucuk pemimpin kerajaan mengambil tindakan disiplin ke atas dirinya berhubung isu arak.

Tuan Guru Datuk Seri,

Betulkah status atau pangkat PESURUHJAYA setiap negeri itu adalah status atau pangkat MENTERI BESAR kalau Pas memerintah? Maaf Datuk Seri, terlupa pula saya. Datuk Seri juga Pesuruhjaya kemudian jadi MB dulu. Di Kedah, Datuk Seri Azizan, Pesuruhjaya, kini MB juga.

Begitulah bla...bla...bla...

Maka terah sekian lama hengar bingar, kecuh hebuh tentang Ronnie Liu dari DAP dengan seorang pesuruhjaya di negeri ehsan mengehsan ini belum reda lagi. Semua orang tahu. Isunya bukan pasal arak sangat. Isunya isu yang ada main acilut di belakang tabir.

Tapi yang jelas kita nampak sekarang, ianya seperti satu perjuangan MAHA SUCI, MAHA JUJUR dan maha-maha demi prinsip, dasar dan kewajipan konon. Saya tak berapa faham tentang ini Datuk Seri tapi saya fikir sia-sia jika kita nak minta berdamai atas nama pakatan, perkongsian dan lain-lain, kerana ada sebahagian mereka bukan ini perjuangan mereka, walaupun dikatakan sebagai ahli Pas yang tidak gila pangkat dan darjat.

Apa yang dihebuh sebenarnya bukan isu itu. Datuk Seri pasti faham. Inilah satu penyakit yang saya sangat-sangat takut Datuk Seri, apabila melanda ke atas pemimpin dan perjuangan Pas. Siang malam menjeri mengatakan kerana Allah, jihad, demi Islam tetapi sebenarnya tingkah laku, gerak dan feel, malah kelip mata pun orang tahu, yang dikejar bukan itu. Kata ulama, inilah ‘hubbun dunya.’
Betulkah?

Datuk Seri, maafkan saya.

Bagaimana kalau kita buat bacaan begini dalam situasi sekarang:
PKR sekarang ada 15 kerusi
DAP sekarang ada 13 kerusi
Umno sekarang ada 20 kerusi
PAS sekarang ada 8 kerusi

Yang peliknya, 8 kerusi ini, parti yang Datuk Seri terajui, hingar bising, kelupur melenting lebih dari 15 kerusi atau lebih dari 20 kerusi. Mereka menaruh impian yang sangat tinggi, melaram yang tak menasabah. Bercita-cita tak kesampaian. Bagi mereka walaupun 8 kerusi, mereka boleh perintah.

Kalau yang 20 kerusi melenting dan kacau, tidak menghairankan. Kan itu pembangkang. Tapi yang 8 ini, apa jadahnya?

Kalau hanya 8 kerusi berimpian boleh memerintah, formulanya apa?

Saya nak peringatkan Datuk Seri, Nasaruddin, Salehuddin Ayub, Datuk Mahfuz dan Setiausaha dan lain-lain diperingkat pusat ini, hubaya-hubayalah dengan melenting dan menggelupur mereka yang bertaraf pesuruhjaya ini kerana pesuruhjaya memungkinkan terus melompat menjadi Menteri Besar.

Formulanya sangat senang:

Bersusik-suksik, berbisik, mengenyit mata dan keremot hidung dengan hidung mancung berkilat merlit, maka akan terjadi 8 kerusi menduduki bersama dengan 20 kerusi. Akan jadi 28 kerusi.

28 kerusi akan sama dengan PKR dan DAP: 15+ 13= 28.

Apabila seimbang begini, berlakulah beli membeli untuk melebihi hanya satu jari kelingking, maka pihak itulah yang akan jadi kerajaan. Atas muslihat busuk dan khianat yang dirancang sekian lama, maka apakah tidak mustahil seorang dari yang 8 ini menjadi MB dan ia tentulah dipilih dari kalangan Pesuruhjaya kerana itulah tarafnya pun.

Bukan mustahil Datuk Seri. Ketika itu Datuk Seri akan melihat terpelantingnya prinsip Islam, perjuangan Islam, Lillahita`ala, jihad demi hanya gilakan sedikit kuasa. Katika itu Datuk Seri akan menangis kerana begitu jadinya setelah berpuluh tahun tarbiah dan usrah Tuan Guru tidak menjadi.

Jadi Datuk Seri, maafkan saya kerana saya tak percaya apa yang bergolak sekarang hanya kononnya nak mempertahankan prinsip, demi Islam dan demi maruah. Yang sebenarnya formula seperti di ataslah yang menjadi kegilaan. Kemungkinan akan berlaku. Jangan tidak percaya dan jangan terkejut kalau ada ‘press confren’: kami 8 orang mengisytiharkan keluar dari pakatan dan menyertai Umno.

Bukankah politik itu seribu kemungkinan Datuk Seri.
Wallahu aklam. Maaf.

Azizi Abdullah

No comments:

Post a Comment