Tuesday, November 16, 2010

Bernasib baikkah kita?

Bila berlakunya sesuatu kemalangan khususnya kemalangan jalan raya, di tengah-tengah keluhan meratap kecederaan ataupun kehilangan, pasti ada yang bersangka-baik (sentiasa berfikiran positif?). Kedengaran ayat-ayat seperti;

“Nasib baik mangsa hanya cedera, kalau mati kesian anak-anaknya yang masih kecil!”

“Nasib baik hanya mati ibu, kalau mati dua-dua ibu bapa maka yatim-piatu lah anak-anak mereka!”

Malah kalau kemalangan berakhir mautpun ada yang masih bersangka-baik.

“Nasib baik sianu-anu itu terus sampai ajalnya dalam kemalangan itu. Hancur kedua-dua kakinya! Kalau panjang umur, susah hidupnya.”

Itulah manusia makhluk Allah yang sentiasa diuji dan pada masa yang sama sentiasa redha dan bersangka-baik.

Sebelum penamaan PRK Hulu Selangor 17 April 2010, tiga nama disebut-sebut sebagai calon. Dua nama iaitu Dato’ Mohd Zaid Ibrahim dan Dr Halili Rahmat disebut-sebut menjadi pilihan. Dato’ Zaid yang ketika itu baru berpatah arang dengan UMNO kerana “prinsip kehakiman” manakala Dr Halili seorang Neurosurgeon yang juga pakar bedah saraf dan mempunyai hubungan dengan keluarga Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tanpa disangka-sangka dua hari selepas penamaan calon yang menyaksikan Dato’ Zaid diumumkan sebagai calon PKR, Dr Halili mengumumkan keluar parti PKR.

Ramai yang kesal tetapi ada yang bersangka-baik dan mengurut data.

“Nasib baik Dr Halili tak terpilih sebagai calon! Katalah dia terpilih dan menang pula sebagai YB dan kemudiannya lompat parti, lagi haru!”

“Mungkin ini balasan Tuhan. Saya cuba berfikiran positif, nasib baik saya belum berkahwin, kalau tidak keadaan akan jadi lebih teruk.” Ujar Nabil atau nama sebenar Ahmad Nabil Ahmad, 27, Raja Lawak Astro Musim Kedua dalam Kosmo Ahad mengulas berita tersebarnya gambar beliau beraksi panas bercium bibir dengan seorang lagi artis pendatang baru Nik Zarith Uqasha Senrose Nik Sen atau Qasha, 18.

Kau pun nasib baik jugalah Nabil!

Teringat aku kepada Mail Jagung, peniaga kuih di Bazar Ramadan Kamunting. Bila hujan berlarutan hingga masa berbuka, dia akan telefon aku.

“Wan, nasib baik kau ada hari ini. Mai gerai aku ambik kuih. Banyak lebih ini. Hang bawalah ke surau!”

Biasanya aku akan jawab; “naib baik hujan, berpahala kau hari ini!”

Terbaru pada 8 November lalu, Dato’ Zaid mengumumkan menarik diri dari pemilihan Timbalan Presiden PKR dan meletak semua jawatan dalam parti.

Ramai yang kesal tetapi ada juga yang bersangka-baik dan mengurut data.

“Nasib baik Dato’ Zaid tidak terpilih sebagai Timbalan Presiden! Katalah dia terpilih dan selepas itu meletak jawatan seperti Dr. Chandra Muzaffar (bekas Timbalan Presiden Pertama PKR dulu) lagi haru!”

Hari ini media arus perdana melaporkan Dato’ Zaid keluar parti dan sebelumnya ada juga laporan media menyatakan beliau akan menubuhkan parti baru, adakah ianya juga “nasib baik” kepada PKR khususnya dan kepada PR amnya?

Wan Larut Wan Muda
wanlarut@gmail.com

No comments:

Post a Comment